Wednesday, March 11, 2009

Perlukah saya berebut peluang?


Kerajaan akan mengambil seramai 63,000 lagi kakitangan sama ada secara tetap atau kontrak di peringkat profesional atau sokongan untuk mengisi kekosongan di pelbagai agensi kerajaan, kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak.Beliau berkata begitu dalam pembentangan buget mini 2009 pada 10 mac 2009(semalam)

Antara lain beliau menyebut "Lain-lain peluang pekerjaan ialah pengambilan kira-kira 1,000 siswazah sebagai guru sandaran dengan gaji bulanan RM2,000 dan melantik kira-kira 800 pekerja kontrak bagi perlaksanaan Program Cari di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk tempoh enam bulan hingga setahun, katanya." [ayat ini salah, sepatutnya ayat perenggan ini dimulakan dengan " Peluang-peluang lain...]

Sehubungan dengan laporan buget itu, saya mendapat sms ini pagi tadi "Tak nak ke jadi guru sandaran gaji 2 ribu beb ". Biasalah ini antara SMS mengoda selain dari saranan dari jiran dan rakan2 lama saya yang masih berkerja yang biasa saya terima sejak saya berehat dari perkhidmatan kerajaan. Mereka tak habis-habis nak menyakat saya.SMS tu dari kakak saya yang sedang dan masih berkerja. Spontan saya menjawap SMS tersebut begini "Cukuplah gomen bagi elaun goyang kaki, ramai lagi siswazah luar sana yang masih petik anggur".


Soalnya apakah saya perlu bersama2 penganggur dan pencari kerja lain merebut peluang yang ada? Apakah niat dan matlamat saya berhenti kerja dulu kerana saya bosan dengan kerja lama dan ingin berkerja ditempat lain atau bekerja sendiri. Semua itu salah. Saya punya perjanjian dengan Allah s.w.t. Saya berhenti kerja selepas buat solat istiharah, apakah saya akan berpatah balik dengan satu lagi solat istiharah.. tentu lucu bunyinya. Kalau saya nak berkerja lebih baik dulu saya tak berhenti. Tentu gaji saya sekarang lebih 4 kali ganda dari apa yang saya dapat sekarang.

Menjadi guru adalah minat saya dahulu, sebelum saya dilantik jadi pegawai kerajaan. Saya memang minat nak mengajar tapi nak mengajar sekolah rendah bukan nak mengajar pelajar universiti atau pelajar sekolah menengah yang sudah 'jadi buluh'.Kelulusan saya pula tidak me'layak'kan saya mengajar sekolah rendah .. itulah pasal :). Jika saya mohon untuk jadi guru sandaran dengan gaji RM2000 sekali pun tak sama dengan gaji yg saya terima jika terus bekerja dengan majikan lama.. jadi saya hanya mencari 'penyakit' jika saya mohon jawatan tu. Kena pulak dapat kerja di tempat lain jauh dari tempat tinggal sekarang, bukankah mengundang masalah? Terpaksa berpindah randah dan menghadapi masalah baru?

Entahlah, saya pun kadang2 bosan bila isu kerja ini diajukan kepada saya. Bukannya saya tak pernah bekerja malah saya adalah seorang 'workaholic' dulunya. Demam pun kerja, di rumah pun kerja.Saya bersyukur kerana pernah dapat kenaikan pangkat pada usia yang muda.Ini bermakna saya pernah 'mengaut' peluang pegawai yang lebih senior.Saya sudah mendapat pengalaman yang berbagai-bagai sehingga letih dengan kerenah pentadbiran. Bila dapat peluang berhenti (option) dengan berbagai ganjaran, saya tak lepaskan peluang itu.

Inilah peluang untuk saya qada' semua solat-solat sunat. Maklum masa bertugas payah nak dapat peluang solat dhuha, solat rawatib pun selalu miss. Nak buat solat tasbih jauh sekali... tahajjud jarang terkejut. Solat fardu pun selalu express.Baca qur'an jarang khatam kecuali bulan Ramadhan itu pun mujur. Bila baca qur'an, tajwidnya pun saya tak pasti sebab tak pernah berpeluang berguru dengan guru yang mursyid. Sekarang barulah saya ada peluang berguru. Waduh banyaknya saya ketinggalan.... itu yang saya fikir semasa nak ambil keputusan berhenti atau tidak berhenti kerja dulu.

Bila ada rakan atau saudara mara yang menyakat saya untuk bekerja semula, saya cuma berdoa "ya muqallibal qulub, thabbitni 'ala dinnik" (Wahai tuhan yang membolak balik kan hati... tetapkkan hatiku atas agamaMu). Sempat atau tidak saya merebut peluang kelapangan masa untuk diisi dengan ibadah? Mampukan saya dapat khusnul khotimah? Bukan peluang kerjaya baru yang saya impikan tetapi peluang ibadah. Inilah kerja saya sekarang dan saya mohon dapat berkerja untuk Allah hingga akhir hayat, ini peluang berniaga yang tak akan rugi rugi (tijaran lan tabur).Ini perniagaan yg tak perlu berebut dengan sesiapa.

Bila saya lihat rekod bujet saya sekarang, amat sedikit yang dapat saya belanjakan untuk infaq (derma). Tetapi saya bersyukur sebenarnya bila saya berhenti kerja, saya memberi ruang kepada rakan kerjaya saya untuk naik pangkat dan saya sebenarnya mengosongkan satu jawatan (peringkat ijazah). Bermakna saya telah memberikan infak setiap bulan sebanyak gaji permulaan seorang siswazah. Mudah2an pengorbanan ini (dengan tidak merebut peluang kerjaya orang lain) dihitung sebagai derma oleh Allah s.w.t. Syukur, amin.

No comments: