Saturday, March 21, 2009

Ole-ole dari Nelayan



Sekali lagi saya mengunjungi daerah Sg Ular, bersebelahan Santuary resort, di Kuantan untuk membeli ikan segar dari Nelayan pantai. Kali ini saya pastikan bateri kamera tak buat hal lagi kerana saya ingin merakamkan pemandangan di persisiran pantai yang cantik itu. Beberapa gambar sekitar tempat nelayan memunggah hasil tangkapan bot kecil dapat saya rakamkan.Kesedapan ikan-ikan segar yang baru ditangkap memang tak dapat dilupakan. Biar pun terpaksa memandu sejauh 40km , ibarat pepatah alah membeli menang memakai.


Biasanya tangkapan nelayan bot kecol ini tidaklah banyak dan jenis ikan mengikut musim. Jika dua minggu lalu hanya ikan gelama, ikan sebelah dan udang yang dapat ditangkap, nampaknya kali ini ada ikan kembung biru, ikan kembung pudar, ikan selar dan ikan parang.

Kali ini saya datang agak cepat, sebelum jam satu tengahari bersama rakan. Kami sama-sama menunggu ikan di warung nelayan di situ. Nampaknya hari ini agak ramai yang menunggu.Mungkin sudah dapat gaji. Sebaik sahaja nelayan naik ke darat, pembeli mula berkerumun dan cuba merebut ikan. Tetapi ikan-ikan tersebut perlu diisihkan, ditimbang dan direkod.Saya hanya membeli ikan kembung biru, ikan selar dan seekor ikan parang.

Rezeki kucing

Jika rezeki kita perlu dibeli , rezeki kucing hanya perlu dicari.Begitulah nasib kucing di pantai ini, sebelum kami dapat ikan dia sudah dapat habuan dulu. Saya tertarik dengan sikap nelayan yang tidak menghalau kucing tersebut sebaliknya memberikan ikan yang digigit kucing itu tanpa menghalaunya. Duduklah kucing itu dengan aman meratah ikan segar.

Begitulah hati nelayan yang setenang angin pantai, seindah laut yang terbentang. Saya diberitahu oleh seorang rakan suatu masa dahulu, ada nelayan di Peramu ada yang mengasingkan ikan2 segar yg terbaik untuk disedekahkan kepada sekolah tahfiz, yg selebihnya baru dijual. Bagaimana dengan kita , apakah yang kita sumbangkan kepada mereka yang memerlukan? Atau kita hanya mementingkan selera kita sahaja.

Firman Allah sw.t dalam surah yasin ayat 47 mafhumnya "Dan apabila dikatakan kepada mereka:" Dermakanlah sebahagian dari rezeki yang dikurniakan Allah kepada kamu", berkatalah orang-orang yang kafir itu kepada orang-orang yang beriman (secara mengejek-ejek): " Patutkah kami memberi makan kepada orang yang jika Allah kehendaki tentulah Ia akan memberinya makan? Kamu ini hanyalah berada dalam kesesatan yang nyata".

Janganlah hendaknya kita mengikut tabiat orang kafir yang sering mempersendakan anjuran supaya memberi sedeqah kepada orang yang memerlukan.Walaupun pada haqikatnya rezeki itu Allah s.w.t yang menjaminnya, tetapi biarlah kita yang menjadi pemudahnya.Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan orang beriman yang menafkahkan sebahagian reqki yang Allah berikan kepada kita. Amin.


No comments: