Monday, August 9, 2004

Taman tebu dipinggir bibir

Assalamu'alaikum,

Tentunya dalam hidup ini kita amat senang bila menerima pujian dan bila ada kita pula memerlukan sesuatu dari seseorang maka puji-pujian jugalah yang menjadi senjata ‘tanam tebu di pinggir bibir’. Soal jujur atau tidak hanya Allah s.w.t yang tahu isi hati kita tetapi lumrahnya manusia memang makan dipuji, tak banyak sikit.

Orang berniaga pun kalau pandai memuji dan ambil hati pelanggan maka sedikit sebanyak barang jualannya akan menjadi semakin laris dan pelanggan akan datang semula untuk membeli atau mendapatkan perkhidmatan seterusnya.

Namun harus kita ingat bahawa ada puji-pujian yang dilarang oleh agama, iaitu kita dilarang mengatakan bahawa si polan itu orang yang dimuliakan Allah. Dalam sebuah hadis yang dipetik dari kitab Sahih Bukhari [hadis no.650] diceritakan seperti berikut:

Kharijah bin Zaid bin Tsabit bercerita , bahawanya Ummul ‘ala seorang wanita Ansar yang pernah bai’at dengan Nabi s.a.w , menceritakan kepadanya bahawa orang Muhajirin mengadakan undian, kebetulan jatuh kepada kami Usman bin Maz’un, lalu kami beri tempat di rumah kami. Tidak lama kemudian Usman sakit dan menyebabkan dia meninggal dunia. Mayatnya kami mandikan dan kami kafankan,setelah itu Rasulullah s.a.w pun tiba.

Kataku, “Semuga rahmat Allah tercurah kepadamu hai bapa Suib (Usman). Aku menjadi saksi bagimu ,sesungguhnya Allah memuliakanmu”

Nabi s.a.w bertanya:” Bagaimana engkau tahu bahawa Allah s.w.t telah memuliakannya?”

Jawapku, “ya Rasulullah, biarlah bapaku jadi tebusan *. Siapakah kiranya yang dimuliakan Allah ?”

Jawap Nabi s.a.w .,”Dia telah mati. Demi Allah, aku hanya mengharapkan semuga dia mendapat kebaikan. Demi Allah , biarpun aku seorang Rasul Allah, namun aku tidak tahu apa yang diperbuat terhadapku”

Kata ummul a’la, “Demi Allah! Sesudah itu saya tak pernah lagi mengatakan seseorang itu soleh/mulia”

kalimah “ biarlah bapaku jadi tebusan” sering menjadi sebutan seakan sumpah mengikut adat dikalangan bangsa Arab.

Pepatah melayu menyebut: ‘Buat baik berpada-pada buat jahat jangan sekali. Jadi berpada-padalah kita dalam segala tindakan termasuklah dalam hal memuji orang. Biarlah pujian itu jujur dan munasabah dengan orang yang kita puji.

Wassalam, la_abwa.

No comments: