Monday, August 9, 2004

Mengejar dan dikejar

Assalamu'alaikum,



Insiden kejar mengejar tentunya menangkap minda kita kepada adengan mangsa dikejar oleh pemangsa. Memang itulah yang sering berlaku mutaakhir ini sama ada kita baca dari majalah atau kita tonton di TV. Setiap hari ada sahaja yang jadi mangsa rogol, samun, tikam,curi , pecah rumah dan tak ketinggalan malah masih berleluasa ialah aktiviti kejar mengejar pelumba haram .

Namun apa yang saya nak ceritakan disini bukannya kejar mengejar perkara maksiat dan keganasan tetapi adalah aktiviti kejar mengejar masa 24jam sehari yang diperuntukkan kepada kita dengan segala amanah. Cuba kita perhati dan muhasabah apa yang kita sempat buat dalam tempoh 24jam itu, hari ini saja misalnya. Cuba kita ingatkan apa yang kita rancang dan apa yang terjadi sebenarnya. Bukankah yang terjadi sering tak sama macam dirancang, kalau tak rancang lagi lah tak menjadi. Perkara di luar dugaan pula ada kalanya mengambil slot 'waktu prima' kita dalam sehari. Kerana itu kita sering mendengar ungkapan "kita hanya merancang Allah s.w.t yang menentukan"

Semalam selepas sarapan memang tak saya fikirkan nak masak apa untuk tengahari. Saya fikir lepas Zohor baru nak jengok dapur masaklah apa yang ada, malas pun selalu hinggap. Kekadang tu memang malas menghantui perasaan, bila bersama adik beradik pun selalu bicang pasal nak masak apa, perut nak makan tapi badan nak rehat...Dulu pernah difikirkan, alangkah baiknya kalau ada pil kenyang, pil perasa. Kalau nak makan sayur ambil pil perasa sayur, kalau nak makan nasi ambil pil nasi. Jadi kat rumah kita simpan macam2 pil termasuk pil rendang , budu, cencaluk dan sebagainya. Inilah fantasi saya masa buat karangan sekolah dulu.... sekarang ni saya lihat dah ada sedikit sebanyak product Mardi yang seakan yang saya impikan. Contohnya nangka dan buah-buahan yang telah dinyahkan air. Kalau nak makan rendam dalam air , dia kembang jadi macam nangka betui, tapi tak ori.

Tup tup jam 1.30ptg dapat sms " Pah, nasi ayam dah siap datanglah" Itu SMS dari Teh kawan saya. Ni mesti dia ada tetamu fikir saya. Lalu saya jawap sms " eloklah tu saya pun belum masak, nak solat dulu". Lepas solat saya pun pergilah bawa perut lapar...ada beberapa keluarga yang biasa sahaja di rumahnya. Ada tetamu tapi mereka dah keluar 'makan angin'. Nasi ayam yang sudah terhidang segera di'belasah', alhamdulillah. Sedap nasi ayam tu bukan kerana apa, pertama kerana makan semasa lapar, kedua free , ketiga berkat sebab kawan buat tu insyaAllah bersih cara basuhnya dan berniat nak menjamu orang lain.

Lepas makan kami jalan-jalan meninjau lebuhraya Kl-Kuantan sekadar pergi ke Maran dan balik. Waktu pergi ambil exit Jalan Gambang dan balik ambil exit Indera Mahkota. Keseluruhan perjalanan lebih kurang 1jam 15 minit , maknanya jimat sejam,guna speed berhemat. Semasa melalui jalan Indera Mahkota ke Bandar ,mak saya yang hanya mendengar kami riuh berbual, tiba tiba bersuara,'Haa tu ... rumah istimewa.." katanya sambil memandang ke kiri jalan yang menempatkan rumah-rumah lot berbatu dua. Memang kawasan tu damai dan harmoni dengan berhiaskan pokok-pokok besar dan bunga puding yang menjadi trade mark kawasan tu.

"awat.. mak nak tempah ka?" tanya saya bergurau.

"Isy tak mau aku " Mak saya menjawab bena tak bena.

"Makcik, kita berjiran dengan arwah mak saya lah kat Bukit Rangin, situ kawasan melayu semua makcik. Kat sini sebelah tu kawasan kristian, bising .." Teh, kawan saya mencelah diiringi tawa.

" ahh awak ni buat saya seramlah, ni sembahyang asar belum lagi. Kadang-kadang saya takut sangat, kita nanti macam mana?" kata saya sedikit serius.

" macamana apa nyer Pah.... sampai masa pergilah. Diam tak diam macam saya ni, dah hilang sorang adik. Ingat saya dulu pergi . Rupanya dia yang tak apa apa dah selamat:" Teh meneruskan sembang. Di kepala saya terbanyang wajah comel baby Deniel (8 bulan) yang baru menjadi yatim tu dan wajah balu muda yang sudah mula menampakkan duka akibat perpisahan yang tak dirancang. Kereta terus meluncur sambil sembang terus membawa topik semasa hingga sampai dihadapan rumah Teh. Kami bergegas solat kerana jam sudah pukul 6 petang. Daniel belum pulang.

Hari ini saya buat karipap membalas 'jasa' Teh semalam. Sesekali buat sarapan banyak, rasa letih dan renyah. Terfikir saya, susahnya orang cari rezeki dengan buat kueh. Kena bangun pagi , untung tak sebanyak mana pun. Petang tadi Daniel datang bersama Teh dan ibunya. Bila tiba dini hari begini segala babak hidup akan singgah silih berganti dalam memori . Daniel akan meneruskan hidup tanpa ayah. Perjalanan hidupnya masih jauh. Kita pula sudah menempa berbagai nikmat dan sengsara hidup.Cukupkah masa untuk diisi dengan bekal, selalunya rasa tak cukup. Hari ini saja banyak rancangan tergendala....

Hingga bertemu lagi,insyaAllah.Wassalam.la_abwa.

No comments: