Sunday, August 8, 2004

Mengerjakan umrah sunat tanpa mahram

Kemusykilan Agama: Mengerjakan umrah sunat tanpa mahram
Bersama Md Daud Che Ngah

SOALAN

SAYA pernah menunaikan fardu haji dan juga melakukan umrah sebanyak
dua kali. Walaupun begitu, saya ingin menunaikan umrah sekali lagi.
Masalah sekarang, kali ini saya tidak mempunyai mahram. Saya sudah
berusaha mengajak saudara saya yang boleh menjadi mahram tetapi atas
alasan tertentu mereka tidak dapat pergi bersama saya.

Bagaimanakah saya hendak menunaikan umrah pada Ramadan dan bersambung
hingga awal Syawal.



HAMBA ALLAH,
Alor Star, Kedah



JAWAPAN

DALAM soal menunaikan ibadat haji dan umrah lebih daripada sekali,
ada dua pendapat dari segi hukum. Pertama, muzakarah ibadat haji
mengatakan, wanita yang ingin menunaikan umrah sunat atau haji sunat
tanpa mahram yang sah adalah haram.


Bagaimanapun, pendapat kedua, segolongan ulama dan cendekiawan Islam
mengatakan ia dibolehkan asalkan wanita yang tiada mahram tadi
ditemani tiga ahli ibadat yang dipercayai. Alasan mereka, kita tidak
perlu menghalang atau mengenakan pelbagai halangan untuk orang
berbuat perkara baik.

Tambahan pula, pemergian ke Tanah Suci sekarang secara berkumpulan
dan tidak seperti zaman lampau dengan menumpang rombongan.

Dalam soal ini, jika puan memilih menunaikan umrah berdasarkan
pendapat kedua, puan boleh menghubungi agensi umrah dan biasanya
mereka tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan tiga ahli ibadat
yang dipercayai.

No comments: