Wednesday, May 5, 2004

Ummu Fadhl pahlawan wanita Islam contoh


LUBAHAH binti al-Harits bin Huzn bin Bajir bin Hilaliyah, atau
dikenali dengan panggilan, Ummu Fadhl, adalah salah seorang antara
empat wanita yang dinyatakan keimanannya oleh Rasulullah.

Ummu Fadhl, adalah isteri kepada Abbas iaitu bapa saudara Rasulullah
dan ibu kepada enam lelaki yang mulia iaitu Fadhl, Abdullah al-Faqih,
Ubaidullah al-Faqih, Ma'bad, Qatsam dan Abdurrahman.

Beliau memeluk Islam sebelum hijrah dan adalah wanita pertama masuk
Islam selepas Khadijah.

Ummu Fadhl, termasuk wanita berkedudukan tinggi dan mulia yang sering
dikunjungi Rasulullah dan kadang kala baginda tidur siang di rumah
ibu saudaranya itu.

Keberanian dan keimanan Ummu Fadhl memerangi musuh Islam, Abu Lahab,
sehingga menyebabkan kematiannya, menjadikan beliau sebagai wanita
muslimah yang wajar diteladani.

Diriwayatkan oleh Ibnu Ishak daripada Ikrimah berkata, Abu Rafi'
budak Rasulullah berkata, ketika itu aku bersama Ummu Fadhl dan tiba-
tiba datang Abu Lahab dengan berlari kemudian duduk.

Tatkala itu diberitahu bahawa Abu Sufyan bin Harits, datang dari
Badar maka Abu Lahab memerintahkannya datang dan memberitahu
perkembangan pertempuran antara orang Qurays dengan orang Islam di
Badar.

Abu Sufyan berkata, "Ketika kami berjumpa mereka, tiba-tiba mereka
tidak henti-henti menyerang kami. Apabila aku menghimpun pasukan,
kami melihat sekelompok laki-laki berkuda hitam putih berada di
tengah-tengah manusia dan mereka tidak memijak kaki di tanah".

Sambil mengangkat batu yang berada ditangannya, Abu Rafi'
berkata, "Demi Allah itu adalah malaikat".

Tiba-tiba Abu Lahab memukul Abu Rafi' dengan pukulan yang keras,
menariknya dan menghempas badannya ke tanah, kemudian dia didudukkan
serta dipukul.

Tiba-tiba berdirilah Ummu Fadhl mengambil sebuah tiang dari batu
kemudian memukul Abu Lahab dengan kuatnya sehingga beliau luka parah.

Kemudian bangunlah Abu Lahab dalam keadaan terhina dan beliau tidak hidup selepas itu melainkan hanya tujuh malam hingga Allah menimpakan
kepadanya penyakit bisul yang menyebabkan kematiannya.

Dalam satu peristiwa, Ummu Fadhl bertemu Rasulullah dengan anak Fatimah, Hasan bin Ali yang diasuhnya, dan Rasulullah segera mendukung serta mencium bayi itu.

Tiba-tiba bayi itu terkencing lalu bersabda Rasulullah kepada Ummu Fadhl, "Wahai Ummu Fadhl, peganglah anakku ini kerana dia telah terkencing padaku".

Ummu Fadl, mengambil lalu mencubitnya menyebabkan bayi itu menangis sambil berkata, "Engkau telah menyusahkan Rasulullah kerana
terkencing padanya.

Apabila melihat bayi itu menangis, Rasulullah bersabda, "Wahai Ummu Fadhl, engkau menyusahkan aku kerana menyebabkan bayi ini menangis".

Kemudian Rasulullah meminta air lalu baginda percikkan ke tempat yang terkena kencing kemudian bersabda, "Jika bayi laki-laki, maka percikan air, akan tetapi apabila bayi perempuan maka cucilah".

Kebijaksanaan Ummu Fadhl terserlah apabila ramai bertanya kepada beliau mengenai hari Arafah, adakah Rasulullah berpuasa atau tidak.

Ummu Fadhl, memanggil seorang anaknya dan menyuruhnya membawa segelas susu kepada Rasulullah yang sedang berada di Arafah. Apabila bertemu baginda dengan dilihat semua orang, baginda menerima susu itu
kemudiannya meminumnya.

Ummu Fadhl, wafat ketika zaman Khalifah Usman bin Affan dengan meninggalkan contoh sebagai pahlawan wanita yang berani hasil dari ketulusan imannya sehingga berjaya menjatuhkan Abu Lahab, musuh Allah paling keras

No comments: