Friday, April 30, 2004

Pesara tentera dituduh tipu pengarah syarikat RM28,830

KUALA LUMPUR 28 April2004 - Seorang pesara tentera laut mengaku tidak
bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menipu
seorang pengarah urusan syarikat sebanyak RM28,830 berhubung kerja-
kerja kontrak pengeluaran kayu balak.

Ismail Abdullah, 57, dari Taman Sri Gombak, Batu Caves, dekat sini
yang ditangkap pada 18 April lalu didakwa melakukan penipuan itu
antara November tahun lalu hingga Mac lalu di alamat No.22-2, Jalan
8/23E, Taman Danau Kota, di sini.

Ismail didakwa menipu Rosmawati Mat Jusoh, 38, dengan memperdaya
untuk mempercayai bahawa dia boleh mendapatkan kerja-kerja kontrak
pengeluaran balak dari Kompartmen 151 Hutan Simpan Balak dari
Kompleks Perkayuan Kelantan Sdn. Bhd. kepada Regal Blue (M) Sdn. Bhd.

Sedangkan Rosmawati selaku Pengarah Urusan syarikat Regal Blue tidak
akan menyerahkan wang RM28,830 sekiranya mengetahui dia diperdaya
oleh Ismail melalui dokumen palsu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 420
Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun
dan denda jika sabit kesalahan.

Hakim Rosenani Abdul Rahman membenarkan pesara tersebut dibebaskan
dengan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Beliau juga menetapkan kes itu disebut semula pada 28 Mei ini untuk
memberi peluang kepada tertuduh melantik peluang.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ku Hayati Ku Haron yang
mengendalikan kes itu memohon mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak
RM20,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.

No comments: