Friday, April 30, 2004

Amalan berterusan dikasihi Allah

RASULULLAH bersabda yang bermaksud: "Biasakan diri kamu di atas cara
yang betul (pertengahan), dan janganlah kamu melampau (melakukan
sesuatu), berpagi-pagilah (melakukan kerja) dan berehatlah, dan
(kerjakan) sedikit amalan di akhir malam dan bersederhanalah, nescaya
kamu akan sampai (kepada matlamat)." (Hadis riwayat Bukhari).

Hadis ini menjelaskan bahawa seseorang itu hendaklah mengiltizamkan
diri dengan melakukan kerja bersungguh-sungguh dan betul, tanpa
berlebihan atau

berkurangan, kerana dengan perlakuan melampau akan menjadikan jemu.

Ini membuatkan seseorang itu tidak melakukan kerja atau ibadat dengan
baik sedangkan dengan melakukan sesuatu pekerjaan secara pertengahan
akan membawa kepada kebaikan amalan berterusan.

Sabda Rasulullah bermaksud: "Sekasih-kasih amalan di sisi Allah yang
dilakukan oleh seseorang amalan yang dilakukan secara berterusan
sekalipun sedikit." (Hadis riwayat Bukhari).

Amalan sedemikian mempunyai hikmat tertentu. Dengan mengekalkan
amalan, seseorang itu akan dapat melakukan khidmat berterusan dan
banyak memasuki pintu ketaatan setiap masa bagi mendapat ganjaran
pahala.

Ini berlainan dengan golongan yang melakukan khidmat dan kemudian
terputus. Demikian juga mereka yang beramal sesuatu amalan, apabila
ia meninggalkan amal terdedahlah kepada celaan.

Perkara itu dijanjikan menerusi hadis Rasulullah dengan janji buruk
bagi orang yang menghafaz al-Quran kemudian ia lupa (tidak
membacanya).

Sebenarnya, Rasulullah menggesa umatnya supaya bersederhana dan
mengambil jalan pertengahan dalam ibadat serta keseluruhan amalan
lain, antaranya sembahyang dan ibadat malam, puasa, berbelanja, makan
minum, belajar, memberi nasihat agama, membaca al-Quran dan lain-lain
seumpamanya daripada amalan Islam.

Semua itu untuk menjaga aspek fizikal pada manusia dan suatu jaminan
untuk memberi hak diri atau tubuh badan supaya beroleh kerehatan,
seterusnya menjadikan seseorang itu kuat dan segar, bahkan dapat
menumpukan pula untuk memberi sumbangan berkekalan dalam setiap
lapangan kebaikan.

Oleh itu, kita dituntut melaksanakan setiap apa yang diperintah Allah
setakat termampu bagi menyahut perintah-Nya.

Sememangnya Allah tidak menuntut supaya dilakukan secara melampau
pada satu-satu aspek perintah-Nya dan mencuaikan aspek lain kerana
seseorang itu tidak mengetahui mana-mana amalan yang lebih kepada
penerimaan Allah dan lebih berpahala

No comments: