Friday, April 30, 2004

Dr. Hamimah hadapi satu lagi tuduhan wang haram RM4.2j



PETALING JAYA 28 April 2004 - Seorang doktor wanita yang didakwa atas
tujuh tuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram Jumaat lalu
dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan yang
sama, kali ini membabitkan wang sebanyak AS$1.126 juta (RM4.275 juta)

Dr. Hamimah Idruss, 55, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan
ketika pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Nurmala Salim.

Pada Jumaat lalu, Hamimah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen
Kuala Lumpur atas tujuh tuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang
haram iaitu menerima wang hasil daripada aktiviti haram dari luar
negara berjumlah AS$9.763 juta (RM37.062 juta).

Pada prosiding hari ini, Hamimah didakwa telah melibatkan diri dalam
pengubahan wang haram iaitu menerima wang hasil daripada aktiviti
haram sebanyak AS$1,126,607.50 (RM4,275,475.46) melalui akaun bank
syarikat Megbridge Sdn. Bhd.

Kejadian itu didakwa berlaku pada 10 Jun tahun lalu di OCBC Bank
Malaysia Berhad di alamat 89-91-93, Jalan SS21/60, Damansara Utama,
di sini.

Pertuduhan terhadapnya mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan
Pengubahan Wang Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak
lebih daripada RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau
kedua-duanya sekali.

Hamimah diwakili oleh dua peguam, Shahrul Amali Syafie dan Wan Mohd.
Nizar Wan Fauzi manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-
Timbalan Pendakwa Raya, Dzulkifli Ahmad dan Muhammad Saifuddin Hashim
Musaimi.

Terdahulu, Dzulkifli menyatakan bahawa tuduhan hari ini adalah
sebahagian daripada hasil aktiviti haram yang dilakukan oleh tertuduh
seperti yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Sekalipun kesalahan itu tidak boleh diikat jamin, katanya, mahkamah
yang boleh menggunakan budi bicara untuk memberikan jaminan kepada
tertuduh perlu mengambil kira jumlah wang yang terlibat.

``Berdasarkan kesalahan ini tidak boleh dijamin dan mengambil kira
keseriusan kerajaan menggubal akta ini, pihak pendakwa mencadangkan
jaminan RM200,000 dengan seorang penjamin.

``Dan memandangkan pasport tertuduh telah diserahkan kepada Mahkamah
Sesyen Kuala Lumpur, kami tidak memohon penyerahan pasport sebagai
syarat jaminan,'' kata Dzulkifli.

Shahrul Amali pula memohon mahkamah menggunakan jaminan yang sama,
sebanyak RM800,000 dengan dua penjamin yang diputuskan oleh Mahkamah
Sesyen Kuala Lumpur minggu lalu terhadap anak guamnya.

Bagaimanapun apabila permohonan itu ditolak oleh Nurmala, Shahrul
Amali memohon supaya jumlah jaminan yang ditawarkan dikurangkan
kepada RM100,000 sahaja.

Nurmala kemudian memutuskan jaminan berjumlah RM150,000 dengan
seorang penjamin dan beliau juga menetapkan 2 Julai ini untuk sebutan
semula kes tersebut.

Hamimah dibebaskan selepas membayar wang jaminan berkenaan.

Hamimah, bekas pengarah syarikat Safire Pharmaceuticals (M) Sdn. Bhd.
merupakan orang pertama didakwa di mahkamah di negara ini mengikut
Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menerima wang berjuta-juta itu
daripada aktiviti haram iaitu penipuan dan pemalsuan dokumen
melibatkan sebuah syarikat Jerman di luar negara.

Kes itu akan dibicarakan selama lima hari mulai 6 Disember ini.

No comments: