Wednesday, April 28, 2004

Nabi galak hadiah, pemberian dinikmati bersama

URWAH meriwayatkan daripada Aisyah bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Syurga itu tempat orang dermawan dan pemuda fasik tetapi dermawan lebih baik disukai Allah daripada orang tua yang ahli ibadah tetapi kedekut.”

Jabir bin Abdillah meriwayatkan dari Nabi Muhammad bahawa Baginda bersabda: “Bukan termasuk golongan kami orang yang diberi Allah kelapangan rezeki, tetapi dia tidak memberi kelapangan kepada diri dan anak-anaknya.”

Al-Hasan berkata: “Sesungguhnya hamba mendapat adab yang baik dari Allah. Jika Allah memberinya kelapangan rezeki, ia pun memberi banyak. Dan jika Allah memberinya rezeki sedikit, ia pun memberi sedikit.”

Yusuf bin Khalid As-Samani berkata bahawa Abu Hanifah dihadiahkan Al-Hajjaj seribu pasang sandal. Kemudian Abu Hanifah membahagikan kepada saudara-saudaranya. Sehari atau dua hari sesudah itu, Yusuf bin Khalid As-Samani melihat Abu Hanifah membeli sepasang sandal untuk anaknya.

Yusuf bertanya kepada Abu Hanifah: “Bagaimana sedangkan anda diberi hampir seribu pasang sandal?” Abu Hanifah menjawab: “Mazhabku mengenai hadiah ialah membahagikan berapa pun jumlahnya, membalasnya setimpal atau dua kali ganda dari itu berapa pun jumlahnya dan membahagikan hadiah kepada saudara-saudaraku.

Diriwayatkan Nabi Muhammad berkata: “Apabila seseorang diberi hadiah, berikanlah kepada teman duduknya.”

Sedangkan saudaraku adalah teman dudukku. Kerana itu, aku tidak mengambilnya sendiri, tetapi kuberikan bahagianku kepada mereka. Aku putuskan untuk menerima hadiah kerana Baginda menerima hadiah dan memenuhi undangan.

Aku berpendapat untuk membalas lebih baik daripada itu, sesuai dengan firman Allah Taala: “Apabila kamu dihormati dengan suatu penghormatan, balaslah penghormatan itu dengan lebih baik dari itu atau balaslah (dengan yang serupa).” – (Surah An-Nisa, ayat 86).

Firman Allah: “Dan janganlah kamu melupakan keutamaan di antara kamu.” – (Surah al-Baqarah, ayat 237).

Diriwayatkan daripada Aisyah ra bahawa seorang wanita memberikan hadiah kepadanya, namun ia tidak menerima hadiahnya. Kemudian Rasulullah bertanya kepadanya: “Mengapa engkau tidak menerima hadiahnya?” Aisyah menjawab: “Kerana aku tahu, ia lebih memerlukannya daripada aku.”

Lalu Rasulullah berkata: “Mengapa engkau tidak menerimanya dan membalasnya lebih baik darinya.”

No comments: