Monday, April 26, 2004

Waktu lapang perlu diguna untuk kebaikan

ORANG yang berfikiran waras dan berpekerti mulia sudah tentu akan sentiasa menggunakan waktu lapang dan terluang sebagai satu kesempatan amat berharga bagi menambahkan kebaikan untuk dirinya.

Dia pula akan berasa amat rugi jika waktu itu tidak dipenuhi dengan amal kebajikan. Lebih mendukacitakan lagi, jika waktu kelapangan itu, mereka gunakan untuk melakukan perbuatan keji dan dosa.

Bagaimanapun, bagi orang berakhlak rendah dan ditambah pula dengan jahil, dia berasa beruntung jika waktu lapang dipenuhi dengan perbuatan tidak baik dan maksiat.

Malah bagi dirinya, dia berasa rugi jika waktu itu tidak diisi dengan perbuatan yang dilarang agama.

Berdasarkan perbandingan dua keadaan jenis manusia ini, maka jelaslah jenis pertama (orang yang berfikiran waras) setiap masa adalah mereka yang sentiasa melakukan kebaikan, manakala manusia jenis kedua adalah sebaliknya,

Justeru bagi yang jahil dan berperibadi rendah ini semakin bertambah dosa serta keburukan walaupun kadang-kadang, ada seruan supaya dia melakukan amal kebajikan.

Sebaliknya, dia menyangka amal kebaikan merugikan dirinya dan menambahkan bebanan saja. Pada hal Allah memberi jaminan manfaatnya dengan firman-Nya yang bermaksud: “Siapakah orang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya melipat gandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah) Allah saja yang menyempit dan meluaskan (pemberian rezeki) dan kepada-Nya kamu semua kembali.” (Surah al-Baqarah, ayat 245).

Sesungguhnya, orang yang gemar meminjamkan harta kepada Allah adalah orang yang melakukan perbuatan baik seperti menderma, bersedekah, berjihad di jalan Allah kerana mendirikan masjid, madrasah atau sekolah, rumah anak-anak yatim serta membantu ke arah kebaikan sosial dan sebagainya.

Dalam usaha untuk berbakti bagi memenuhi waktu lapang agar ia tidak berlalu dan terbuang dengan sia-sia, maka Allah memberikan galakan supaya manusia melakukan kebaikan seperti mana firman-Nya yang bermaksud: “Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti biji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, setiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan pahala bagi siapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (Rahmat) kurniaan-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 261).

Dalam kesempatan beribadat kepada Allah demi menjamin keutuhan iman dan kekayaan jiwa, Rasulullah juga pernah bersabda dalam hadis yang bermaksud: “Wahai anak Adam, sediakanlah kelapangan buat beribadat kepada Allah, nescaya Aku penuhi dadamu dengan kekayaan jiwa, dan aku tutupi apa-apa jua kekuranganmu, tetapi jika engkau tidak kerjakan sesuatu kebaikan pada waktu yang terluang itu, nescaya Aku penuhi di waktumu itu dengan kesibukan yang pelbagai, dan Aku tidak menutupi apa-apa jua kekuranganmu.” (Hadis qudsi riwayat at-Tirmizi dan Ibn Majah).

Berdasarkan hadis ini, sesiapa yang tidak mahu menggunakan waktu lapang dengan melakukan ibadat dan kerja bermanfaat, nescaya hidupnya sering kekurangan dan jiwanya kosong sekali gus mendorongnya terbabit dalam kegiatan tidak berfaedah dan maksiat serta mudah dipengaruhi gejala buruk yang bakal memusnahkan hidupnya.

Dalam hadis lain, Rasulullah turut menerangkan mengenai dua jenis manusia yang diibarat sebagai ‘menjual dirinya’.

Pertama, seseorang yang bangun pada waktu pagi untuk mengerjakan sesuatu pekerjaan yang boleh menguntungkan lalu dia dibebaskan Allah daripada keburukan.

Kedua pula adalah seseorang yang mengerjakan sesuatu pekerjaan yang merugikan dirinya lalu dibinasakan Allah.

Maknanya, golongan pertama adalah mereka yang mengerjakan amal soleh seolah-olah dia menjual dirinya kepada Allah, maka dengan amalan itu, Allah hindarkan dirinya daripada kehinaan di dunia dan di akhirat.

Sedangkan manusia jenis kedua adalah golongan yang mengerjakan kejahatan lalu menjual dirinya kepada kehendak syaitan dan hawa nafsu, maka dengan tindakan itu, dia sendiri yang membinasakan dirinya.

Justeru, setiap individu boleh sama ada melakukan sesuatu untuk membahayakan diri sendiri atau membahagiakan diri.

Daripada beberapa dalil al-Quran dan hadis ini, maka mudah-mudahan kita sentiasa memelihara masa daripada terluang begitu saja tanpa dipenuhi dengan amalan atau usaha berfaedah serta menguntungkan diri sendiri.

Janganlah hendaknya kita sanggup dilalaikan oleh pujukan syaitan dan hawa nafsu sendiri kelak buruk padahnya dan sesuatu penyesalan itu tidak ada kesudahannya.

Oleh itu, manfaatkan hidup ini sebaik-baiknya lebih-lebih lagi ketika mana usia masih muda, bertenaga dan berkesempatan menghirup nikmat keselesaan serta keamanan untuk melakukan ibadat serta berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

Firman Allah yang bermaksud : “Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian kecuali mereka yang orang beriman dan beramal salih serta berpesan dengan kebenaran serta kesabaran.” (Surah al-Asr, ayat 1 hingga 3).

Bharian :26/4/04

No comments: