Suatu hari selepas saya keluar dari wad , kak munah jiran saya merenung saya lama seakan termenung, risau juga hati saya, apahal kak munah ni, bisik hati saya.
“Kenapa , kak munah?” Sapa saya memecah kesunyian pagi Jumaat yang terik mentarinya .
“ Kak munah rasa macam mimpi..” katanya masih dalam nada termenung. Pandangannya tak lepas dari merenung saya yang sedang menjemur kain baju.
“Kenapa pulak? Tanya saya , masih tertanya2 dengan sikap jiran saya pagi itu. Memang kami sesama jiran amat akrab,rumah kami ber’temu’ di bahagian dapur. Bucu laman adalah tempat kami selalu berborak2 sesama jiran dan tempat bertukar2 juadah.
“Betul Pah, rasa macam mimpi tengok Pah depan mata hari ni...” Kak Munah bernada agak sayu. ,sambungnya lagi “kalau tengok Pah masa accident hari tu.. tak tau nak katalah.. tak tau nak kata apa.., tak sangka, kak munah betul betul tak sangka Pah boleh segar macam hari ni” kata kak munah beriya-iya.
“Teruk sangat ker keadaan saya hari tu kak munah?, Saya mahukan kepastian kerana cerita cerita mengenai keadaan saya belum lagi diceritakan oleh Kak Munah secara serius, mungkin tak mahu ganggu emosi saya . Kisah tragedi petang Isnin 30 Oktober 2006 , kini meninggalkan parut parut kenangan.
“Mau tak teruk, tu mata kiri bengkak besar telor itik , berdarah ,mata tu melilau kiri kanan, darah dari kepala penuh satu badan, tu dagu tu terbelah ternganga seluas muka tu.. mau tak ngeri ka? Kak munah kata dalam hati, ngaper lah jadi macam ni, masa tu dalam hati ni tak tahu nak kata apa dah, sabar ajerlah..” itu saja bahasa yg boleh diucapkan oleh kak munah yg sampai paling awal sekeluarga di wad kecemasan Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan (HTAA) setelah dapat panggilan dari kakak saya.
Seingat saya ,wajah Kak munah adalah antara wajah2 awal yg menyapa saya dan saya ketika itu separuh sedar... anak2 kak munah dan jiran2 lain satu persatu menyapa dan kenalkan diri. Saya dengar bunyi bunyi tapak kaki manusia begitu bising ke hulu ke hilir sambil badan saya rasa bergerak atas troli. Ada suara menyebut “active bleeding”, tak lama lepas tu saya tak sedar, mungkin dibius untuk jahitan kepala. Kemudian dengar pula suara (mungkin sura doktor) berkata “i can see the base of the tougue”... maknanya belahan luka di dagu begitu besar dan dalam. Saya hanya berdoa dalam hati agar Allah mudahkan segala urusan.
Sempat saya minta kak Munah bacakan yasin, masa tu saya masih boleh bersuara, saya tak terasa sakit tapi terasa kaku. Saya sedar saya kemalangan tapi tak ingat perkara lain, saya hanya ingat husnul khotimah...saya hanya mengucap syahadah.Kak munah sempat beritahu mak saya selamat, keluarga saya semua dah dimaklumkan.Alhamdulillah, perasaan saya masa tu terasa nyawa sudah sampai kerongkong, takut bercampur ngeri. Begini agaknya bila izrail datang memanggil.
Seluruh keluarga saya tiba kira2 jam 2 pagi di hari kejadian,. Semua mereka dapat masuk wad. Masa tu saya dah sedar, dengar bunyi orang mengerang sakit dan muntah2. Kata kakak , itu suara mak saya,dia patah kedua2 kaki.. Aduh saya tak dapat bayangkan sakitnya.Saya sendiri tak dapat bergerak kerana kesan hentakan stering di dada.Tekak tak dapat menelan kerana dagu yg baru dijahit, suara sudah tak boleh keluar. Xray hanya diambil dari atas katil (mobile xray). Doktor tak dapat sahkan sama ada tulang rusuk saya patah atau tidak... Akhirnya sah tak ada yg patah.Syukur.
Esoknya keadaan masih kritikal terutama mak saya. Saya tak dapat melihat dia kerana tak boleh bergerak, mata saya masih keluar darah. Tengahari tu ramai yg melawat, entah macam mana keadaan diri saya, saya pun tak tahu.Hari keempat barulah saya dapat melihat cermin, boleh duduk dan saya boleh bersuara. Rupa saya masa tu macam ‘mahluk asing’, dengan wayar oksigen tersangkut di hidung, wayar drip tertusuk di tangan.Ada yang kata proses pemulihan saya sangat pantas, sedangkan saya tak mampu menelan selama seminggu. Semua ubat terpaksa ditumbuk , dijadikan serbuk dan saya terpaksa menelan segala yg pahit dengan seribu kepayahan.Hari ke sepuluh saya di’bebas’kan, keluar wad.
Layanan di HTAA sangat memuaskan, baik di wad dua mahupun di wad satu.Kakak2 saya saban hari datang , pagi petang. Begitu juga rakan2 dan jiran Macam macam yg dibantu oleh mereka.Masa di rumah, jiran2 saya datang melawat, bersembang2 hal kesyukuran, mengatakan rasa lega kerana mereka masih berjiran dengan saya.Berpantang ajal sebelum maut, begitulah hakikatnya.
“Kak munah,tengoklah parut-parut di muka saya ni, parut kenangan. Maknanya kak munah tak mimpi, dulu saya tak ada parut” Saya bersuara sambil berjalan menghampiri kak munah yang masih berdiri di sudut pagar. Dia tersengeh sahaja. Kini parut parut itu pun semakin mesra dengan kulit,menunggu waktu pemulihan. Mak saya sudah 10 hari keluar wad dan dirawat di rumah sahaja. 2 hari lagi mungkin simen kaki kirinya boleh ditanggalkan.Sementara ceracak besi di kaki kanannya mungkin akan mengambil masa yg agak lama. Begitulah antara mimpi mimpi dunia yang menjadi bahan ujian kepada saya dan mak .
Firman Allah s.wt dalam surah al-baqarah ayat 155-156 mafhumnya ""... Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:(iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."
Subhanallahi wal hamdulillah.Allhu'aklam.
La_abwa
2 Disember 2006
Saturday, December 2, 2006
Tragedi oktober-umpama mimpi dalam mimpi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment