Wednesday, October 28, 2009

Ibu sedih ambil ijazah anak

SHAH ALAM 28 Okt. - Suasana pilu menyelubungi Dewan Sri Budiman, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini semalam apabila seorang ibu tampil mengambil Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang bagi arwah anaknya pada Majlis Konvokesyen Ke-71 universiti itu.

Ibu kepada Allahyarham CT Zubaidah Zainal Abidin, 25, iaitu Hamidah Awal, 49, hadir pada majlis berkenaan bagi mewakili anaknya yang meninggal dunia pada 18 September lalu akibat kemalangan jalan raya.

Ketika melangkah kaki untuk naik ke pentas bagi menerima ijazah tersebut daripada Naib Canselor UiTM, Prof. Tan Sri Ibrahim Abu Shah, dia tidak dapat menahan air matanya daripada mengalir dan kakinya hampir kaku mengenangkan pemergian anak kesayangannya itu.

Sementara itu, ketika ditemui, Hamidah berkata, perasaan sedih masih menyelubungi dirinya kerana arwah merupakan anak sulung dan perempuan tunggal daripada empat beradik dan juga menjadi kawan rapatnya.

"Arwah seorang anak yang cekal dalam menghadapi apa jua cabaran mendatang demi mencapai cita-citanya menjadi seorang peguam.

"Walaupun arwah meninggal dunia pada usia muda, dia berjaya merealisasikan cita-citanya apabila dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Pejabat Peguam Negara mulai 1 Julai lalu," katanya yang juga kakitangan UiTM Shah Alam kepada pemberita di sini hari ini.

Hamidah memberitahu, dia dan suaminya bercadang mempamerkan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang milik arwah di satu sudut khas bersama buku-buku rujukan dan nota sepanjang pengajian CT Zubaidah di UiTM sebagai kenangan di rumah.

Pada 18 September lalu, CT Zubaidah dan adiknya, Zainuddin, 24, serta seorang rakan mereka meninggal dunia apabila terbabit dalam kemalangan jalan raya di Sabak Bernam semasa dalam perjalanan pulang ke Perak untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.





No comments: