Monday, June 1, 2009

Puisi :Ulama dan umarah


Nukilan: Dato’ Md Dakhiyar Hj Amir DSSA DMM BCK PPA

Ulama' dikenali sebagai ahli agama
Umarah pula adalah pemimpin sesebuah negara
Masing-masing ada peranan bersama
Ulama mendidik manusia supaya beragama
Umarah mentadbir manusia supaya beretika
Kalau dua-dua berganding bahu bekerjasama
Hasilnya sepatutnya berbangga
Kalau pokok sudah berbunga
Cantik dan wangi pula
Ini hasilnya kalau dua-duanya
Berfungsi betul landasannya

Tetapi dizaman ini apakah peranan mereka ?
Adakah sama saperti yang kita kata
Atau berlainan rupanya

Apakah ulama betul-betul mendidik manusia beragama
Umarah pula mentadbir manusia beretika
Atau peranan mereka terbalik pula
Ulama' mentadbir manusia beretika
Dan umarah mendidik manusia beragama
Kalau ini berlaku diantara mereka
Nampaknya mereka berfungsi tidak berdasarkan keahlian mereka
Sudah nampak tidakada keadilan dalam beragama dan beretika
Ulama yang bukan ahli mentadbir manusia, nak tadbir manusia
Umarah bukan ahli agama, nak didik manusia beragama
Kalau ini berlaku, hasilnya tak akan sama
Malah kesan sampingannya
Boleh merosakkan manusia
Ini kalau kita fikir dari sudut akliah dan lahiriahnya
Tapi kalau ya pun mereka berfungsi cara mereka
Kalau tepat kaedahnya, mungkin baik juga hasilnya
Kita lihat apa yang berlaku dengan masyarakat kita


Kita kaji apa kefahaman kita bersama
Baik umarah,ulama atau manusia
Kita lihat dulu umarah, pemimpin sebuah negara
Pemimpin dilantik melalui pilihanraya
Rakyatlah yang memilih mereka, ini kata manusia
Setiap 5 tahun sekali masing-masing cuba kekalkan kuasa
Untuk memimpin sesebuah negara
Berbagai-bagai cara dilakukan mereka agar mudah bertahta
Tanpa banyak halangan-halangannya
Ada dengan cara yang baik berkempen bersama
Ada juga dengan cara yang tak sihat kata manusia
Janji dapat lagi memegang kerusi dan kuasa
Yang kempen cara baik ada yang gagal dan ada yang berjaya
Begitulah juga yang kempen cara tak sihat sama sahaja
Tak payahlah kita cerita
Bagaimana cara baik dan cara tak sihat yang kita kata
Kita lihat apa hasilnya bila mereka dilantik semula

Ada tak perubahan dikawasan mereka
Ada tak perubahan kepada negara yang ketara
Ada tak perubahan kepada diri mereka
Keluarga mereka, pengikut mereka
Atau masih sama sahaja
Atau hanya perubahan pada diri mereka sahaja
Dulu bawa kereta protonsaga sekarang dah bawa Perdana
Dulu ada perdana sekarang Mercedez pula
Dulu rumah sederhana sekarang rumah macam istana
Dulu makan di kedai biasa
Sekarang minum standard kena jaga
Dulu ada buat berniaga kecil-kecilan sahaja
Sekarang dah buat business international pula

Perubahan diri mungkin akan ketara
Apa dah jadi kepada penyokongnya
Apa dah jadi dikawasannya
Apa dah jadi pada negara
Kalau ada pun cukuplah untuk pembuka mata
Tapi tak senang juga macam mereka
Kita lihat kepada keluarga mereka pula

Dulu isteri tutup aurat semua
Sekarang nampak, hanya tutup kepala
Dulu pakai bajung kurung semata
Sekarang berfesyen pula
Dulu kawan juga dengan orang biasa
Tapi sekarang standard mahu jaga
Dulu bercakap, berbual sebarang sahaja
Sekarang sudah ada bernada
Isteri orang penting nak dikata

Dengan masyarakat bagaimana pula
Kalau dengan masyarakat adalah kebajikan sekali sekala
Terpaksa ada jadual dan program pula
Kadang-kadang langsung tak nampak muka
Orang nak jumpa pun mesti ikut protokolnya
Mesti buat temu janji masa, tarikh dan tempatnya
Maklumlah sibuk dengan hal-hal dunia

Bagi ulama' bagaimana pula kerenah mereka
Yang bersama negara terpaksa ikut kata pemimpinnya
Yang tidak bersama, cari makan diluar bermacam cara
Ada yang berpolitik, ada yang berkarya
Ada yang berkuliah ada yang mengajar agama
Mengajar agama pun kena dapat tauliah pihak berkuasa
Kalau yang bersama negara, sepatutnya umarah ikut ulama'
Tapi zaman sekarang nampak terbalik pula
Ulama yang ikut apa umarah kata
Jadinya agama disesuaikan dengan kehendak manusia
Bukan manusia yang ikut agama
Sudah nampak akan kesilapan kita

Susah juga ulama yang digelar oleh mereka
Belajar agama sehingga keluar Negara
Sepatutnya dapat mendidik agama kepada rakyatnya
Tapi nampak tidak berkesan pula
Buktinya terlalu banyak kemungkaran dan masalah sosial Negara dan dunia.
Ada juga orang agama yang melanggar tatasusila
Orang ramai pun ada yang sudah tidak hormati mereka
Ada juga orang agama yang masih mengejar dunia
Nak cari nama, pangkat dan gelaran didunia
Buktinya sama-sama ulama tidak bersefahaman dalam ugama
Berselisih pendapat dan bergaduh pula
Kalau jumpa yang tidak sefahaman dengan mereka
Mungkin dikatakan sesat aqidah manusia
Mudah sangat menghukum kita
Sepatutnya di didik, dibetulkan apa yang tidak kena
Bukan mengaibkan manusia
Kan mengaibkan orang, Tuhan sangat tak suka
Sudah nampak kesilapan ulama

Nak cari salah orang mudah sahaja
Tapi bukan ini tujuan minda
Kita nak cari apa kesilapan kita
Baik ulama, umarah dan manusia
Kita lihat apa Tuhan kata

Bagi umarah, berpolitik tidak salah
Tetapi kena betul kaedah
Kalau kita tidak faham, kita main redah
Kalau dilantik bermakna itu adalah amanah
Tuhanlah yang memberi inayah
Dilantik oleh manusia melalui pilihanraya itu, Tuhan punya kaedah
Jadi Tuhanlah yang melantik umarah

Bila Tuhan yang lantik, besar tanggungjawabnya
Jadi tak bolehlah ambil sambil lewa
Faktor tugas dunia, untuk jalankan amanah Tuhan semata-mata
Semua perintah Tuhan wajib dijaga
Semua larangan Tuhan kena peka
Menyembah Tuhan faktor utama dan jangan leka
Syariat Tuhan tidak boleh diabaikan juga
Akhlak hendaklah mulia
Untuk diikuti oleh manusia
Dijadikan idola bukan kerana berkuasa dalam negara
Tetapi dapat dicontohi akhlak yang mulia dan beragama
Dan Tuhan ditakuti sebilang masa
Berpolitik kerana Tuhan semata-mata
Dan bukan berpolitik kerana agama, bangsa dan Negara
Kalau berpolitik kerana agama, bangsa dan Negara
Kesan sampingannya amat ketara
Lihat sahaja apa yang berlaku didunia
Tak aman negara dibuatnya
Ada sahaja kerenah manusia
Ini adalah kesan kalau berpolitik untuk makhlukNya
Berpolitiklah untuk Tuhan Yang Maha Berkuasa
Pasti Tuhan tunjukkan jalanNya

Bagi ulama pula
Amanah Tuhan kepada mereka amat besarnya
Bertanggungjawab mendidik manusia
Tidak kira apa peringkat mereka
Supaya Ingat kepada Tuhan Yang Esa
Supaya Kenal kepada Pencipta Manusia
Supaya Takut kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa
Supaya Sayang kepada khaliq kita
Supaya Cinta kepada Tuhan, Raja segala Raja
Ulama tidak boleh dengan mudah menghukum manusia
Ilmu dan hikmah yang harus disampaikan kepada mereka
Kalau dikatakan sesat aqidahnya
Hendaklah di berikan ilmu yang tepat kepada mereka
Kalau dikatakan melanggar hukum syariah Negara
Hendaklah disampaikan apakah ilmu Tuhan yang tersirat disebaliknya
Tidak boleh mencari salah siapa
Kerana ini akan merosakkan Kasih Sayang sesama manusia

Bagi masyarakat pula
Adalah menjadi syariat agar umarah dan ulama dihormati semua
Selagi mana mereka melaksanakan tanggungjawab mereka
Selagi mereka menunjukkan akhlak yang mulia
Selagi mereka mengikut Perintah Tuhan Yang Berkuasa
Selagi mereka meninggalkan larangan Tuhan Yang Esa
Selagi mereka mengutamakan Tuhan yang mencipta manusia
Selagi mana akhirat diutamakan mereka dari dunia

Kalau mereka tidak sefahaman dengan kehendak kita
Itu bukan kehendak mereka
Itu semua adalah Tuhan yang punya kerja
Jangan pula marah, mengutuk, bergaduh dengan mereka
Pasti ada juga yang tidak kena dengan kita
Maka yang baiknya, carilah jalan untuk bersama
Kerana Berkasih Sayang itu adalah perintah Tuhan Yang Maha Berkuasa
Faedahnya bukan sahaja untuk kita
Bahkan untuk semua makhluk yang Tuhan cipta

Marilah kita bersama mereka
Memelihara Kasih Sayang sesama manusia

Nukilan: Dato’ Md Dakhiyar Hj Amir DSSA DMM BCK PPA
072336 Dis 07




No comments: