Wednesday, April 1, 2009

Kerenah Masjid dan surau



Peranan masjid sebagai tempat ibadah sudah diketahui umum. Tetapi di Malaysia khususnya pentadbiran masjid tidak selaras antara sebuah masjid dengan masjid yang lain. Selain masjid kita ada begitu banyak musolla atau surau sebagai tempat solat awam bagi orang Islam. Dari pemerhatian rambang , saya dapati kebanyakan Masjid di Malaysia ini dibuka pada waktu solat dan ditutup beberapa jam selepas solat isyak dan selepas solat subuh. Pernah kami singgah di Masjid baru di Marang,Terengganu yang terletak di sisi jalanraya. Kedudukannya startegik sekali, memang sesuai sebagai mercu tanda baru daerah Marang. Malangnya kami hanya dapat menggunakan bilik wudhu serta tandas sahaja dan terpaksa solat di luar Masjid (dekat pintu) kerana hari sudah pukul 10.30 malam.

Inilah fenomena umum masjid-masjid di Malaysia. Jika kita pergi ke Masjid sekitar jam 8 pagi untuk tumpang solat dhuha, maka hampalah kita kerana kebanyakkan masjid dikunci selepas habih tempoh solat subuh dan dibuka semula kira-kira setengah jam sebelum zohor.Ketika berkunjung ke Pasar Payang, Kuala Terengganu sebulan yang lalu, saya berhajat untuk solat dhuha pada kira-kira jam 11.30 pagi di surau Pasar Payang, tetapi hampa kerana surau dikunci dan hanya dibuka pada jam 1 tengahari. Mungkin peraturan menutup dan mengunci masjid dan surau ini ada kaitan dengan kejadian salah guna masjid/surau yang pernah dilakukan oleh segelintir ummat yang derhaka kepada tuhannya.


Baru-baru ini saya diberitahu oleh seorang imam Masjid, bahawa pentadbiran masjid juga mempunyai kerenah birokrasi yang tersendiri dan agak 'pelik'. Di Masjid yang beliau menjadi imam no.1 perkara berkaitan dengan tender membersih masjid, tender landscape,urusan pembelian perabut dan pengurusan kelas-kelas fardhu ain dan tajwid tidak boleh diselenggarakan sesuka hati .Ada badan/unit lain yang mengendalikannya. Sepatutnya seorang imam diberikan kuasa seperti seorang ketua jabatan. Tetapi ini tidak berlaku di masjid. Satu perkara yang menyusahkan para imam ialah ketiadaan penempatan untuk para imam/kakitangan masjid. Adakala imam juga terlibat dengan kesesakan lalu lintas kerana jarak rumah dengan masjid begitu jauh.

Kerana ujudnya kerenah birokrasi seperti inilah kita dapati jika tandas rosak,urusan membaikpulihkannya mengambil masa yang tidak munasabah. Saya pernah membuat aduan kepala paip rosak di tandas sebuah masjid , menyebabkan air mengalir tanpa henti ,dan berlaku pembaziran air. Perkara ini berlarutan lebih 4 bulan lamanya hanya kerana alasan pentadbiran. Pihak yang terima aduan perlu minta kelulusan dari pihak yang bertanggungjawap dan kita tak boleh nak memandai-mandai membetulkannya. Bagi saya kerja menukar kepala paip mudah sahaja, saya pun boleh buat. Dan saya sedia untuk mengupah tukang paip sekiranya kerosakannya rumit.

Telekung di masjid2 juga menjadi suatu perkara yang diperkatakan oleh pengguna masjid khususnya musafir yang perlu menggunakan telekung masjid sebagai satu kemudahan.

Bila ada telekung di masjid tidak perlulah kita membawa bekal telekung ke sana ke mari.Telekung dan kain sarung lelaki merupakan pakaian solat yang perlu diberi perhatian oleh semua masjid. Telekung khususnya mesti sentiasa bersih dan berbau harum supaya solat kita tidak terganggu oleh bau telekung yang hapak.

Saya pernah merajinkan diri mencuci telekung masjid. Setiap minggu saya ulang alik ke masjid dan mengambil sebahagian kain telekung dan mencucinya di rumah. Alhamdulillah setakat ini, belum pernah berlaku kejadian saya dimarahi oleh pengawal masjid malah mereka berterima kasih. Kini saya menghentikan aktiviti ini setelah suatu hari saya melihat telekung yg baru saya cuci dikumpulkan dalam karung plastik. Saya bertanya kepada pengawal mengapa telekung bersih hendak dicuci lagi?.Beliau kata itu adalah tugas siyak. Yang menghairankan kenapa selama ini telekung2 tersebut dibiarkan kotor, busuk dan koyak? Mungkinkah siyak yang bertugas rasa ter'pukul' bila ada orang lain mengambil alih tugas mereka?

Walau apa pun saya dapati masjid berkenaan sekarang ini sudah pun menukar sistem penyimpanan telekung. Sudah disediakan penyangkut telekung dan telekung tidak lagi busuk dan koyak rabak seperti dahulu. Alhamdulillah.

No comments: