Wednesday, August 4, 2004

Umat mesti waspada peraduan, kuiz unsur judi

Oleh Engku Zaki Engku Alwi


ALLAH berfirman bermaksud : "Wahai orang yang beriman! Bahawa
sesungguhnya arak dan judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib
dengan batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) daripada
perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu
berjaya." – (Surah al-Maidah, ayat 90).

Judi dalam terminologi agama merujuk kepada transaksi yang berlaku
antara dua pihak bagi pemilikan sesuatu benda atau jasa yang
menguntungkan satu pihak dan merugikan pihak yang lain. Ia dilakukan
dengan cara mengaitkan transaksi itu dengan tindakan atau kejadian
tertentu.

Judi adalah perbuatan kotor dan keji serta termasuk dalam perbuatan
syaitan. Ia juga memberikan kesan negatif dalam semua aspek kehidupan
umat sejagat.

Oleh itu, judi diharamkan oleh semua agama yang menjadi pegangan umat
manusia di alam semesta.

Keburukan judi semakin jelas dengan amaran berganda daripada Allah
melalui firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya syaitan itu hanya
bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu
dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada
mengingati Allah dan daripada mengerjakan solat.

"Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara yang
keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?" – (Surah al-Maidah,
ayat 91).

Jelas di sini, amaran dan celaan berganda daripada Allah terhadap
judi sebagai perbuatan keji dan syaitan yang sentiasa menyesatkan
manusia daripada landasan benar.

Ini membuktikan berjudi adalah besar dosanya di sisi Allah hingga
Allah menganggap orang yang bersifat seperti syaitan saja yang berani
terbabit dengan judi.

Lebih berbahaya lagi, amalan judi ini akan mengakibatkan permusuhan
dan kebencian sesama manusia. Ia juga menjauhkan mereka daripada
mengingati Allah dan mengerjakan solat.

Inilah cita-cita syaitan yang ingin menyesatkan umat manusia sejak
zaman berzaman.

Pendek kata, bahaya judi amat buruk kerana berupaya merosakkan segala
sendi kehidupan manusia sejagat dari aspek akidah, ibadat, politik,
ekonomi, sosial, moral, akhlak hingga kepada aspek budaya hidup.

Perkara sedemikian kerana setiap perbuatan yang juga larangan Allah
jika dilakukan pasti akan mendatangkan kecelakaan.

Tercatat dalam diari kehidupan manusia bahawa judi bukan saja boleh
memutuskan hubungan kerohanian dengan Allah, bahkan silaturahim
dengan keluarga, jiran tetangga dan sahabat handai. Amalan judi juga
boleh mematikan kewarasan akal dan menghidupkan pula angan-angan
kosong yang memudaratkan.

Lebih parah lagi jika judi mendorong manusia untuk mempercayai dukun
atau bomoh bagi mencapai apa yang dihajati.

Tidak kurang yang sanggup meminta pertolongan daripada jin dan
syaitan, padahal amalan itu hanya menambah dosa dan menjerumus ke
lembah kesyirikan.

Judi juga menyebabkan semangat untuk hidup dan berkerja bersungguh-
sungguh menurun.

Natijahnya, daya produktiviti tidak meningkat dan rancangan
pembangunan bangsa pula tidak terurus dengan baik.

Begitu antara kesan buruk judi kepada masyarakat, bangsa dan negara.

Ini bertepatan sekali dengan amaran Ilahi yang termaktub dalam surah
al-Maidah, ayat 91 di atas.

Menyedari bahaya judi, masyarakat sewajarnya berhati-hati dengan
pelbagai bentuk peraduan, kuiz dan pertandingan yang mengandungi
unsur perjudian yang dilarang agama.

No comments: