Thursday, May 13, 2004

Nilai Zikrullah - Dalam kehidupan seorang Muslim


Nilai Zikrullah - Dalam kehidupan seorang Muslim

Oleh Mazlan Zainol

Zikrullah adalah antara amalan yang dapat menghidupkan hati,
memberikan ketenangan rohani dan mengundang rahmat Allah. Banyak ayat al-Quran dan hadis nabi yang menceritakan kepentingan zikrullah dan kesannya kepada ketenteraman jiwa.

Zikrullah bermaksud mengingati Allah. Ini termasuk berzikir melalui
hati, lidah dan seluruh anggota badan. Jelasnya, zikrullah atau
mengingati Allah ini adalah makna umum dan tidak tertumpu hanya
kepada zikir lidah sahaja sebagaimana yang difahami oleh ramai orang.

Apa sahaja perbuatan atau gerak laku yang membolehkan kita mengingati-Nya serta mendapat keredhaan-Nya, maka itu sudah termasuk dalam erti kata zikrullah dalam pengertian yang sebenar-benarnya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: Orang-orang yang beriman dan
tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah (mengingati Allah).
Ketahuilah dengan zikrullah itu hati akan tenang tenteram. (Ar-Rad:
28).

Allah s.w.t. memerintahkan orang Islam agar mengingati-Nya dalam
semua keadaan serta jangan menyibukkan hati mereka dengan
mengalihkannya kepada yang lain selain Allah supaya tidak terputus
hubungan mereka dengan Maha Pencipta. Firman-Nya yang bermafhum: “Kemudian apabila kamu telah selesai mendirikan solat, maka hendaklahkamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk,atau semasa kamu berbaring.” (An-Nisa: 103)

Berkata Ibnu Taimiyah: Zikir bagi hati adalah umpama air bagi ikan,
bagaimana keadaan ikan apabila berpisah daripada air?''

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman!
Ingatlah dan sebutlah nama Allah dengan ingatan dan sebutan yang
sebanyak-banyaknya, dan bertasbihlah kamu memuji-Nya pada waktu pagi dan petang. (Al-Ahzab: 41-41).

Firman-Nya lagi yang bermaksud: Dan sebutlah (dengan lidah dan hati)
akan nama Tuhanmu (terus menerus siang dan malam), serta tumpukanlah (amal ibadatmu) kepada-Nya dengan sebulat-bulat tumpuan.'' Al-Muzammil: 8). Abu Hayyan dalam kitab tafsirnya, Bahr al-Muhit mentafsirkan ayat di atas sebagai berkekalanlah dalam mengingati Allah yang merangkumi segala bentuk zikir daripada tasbih, tahlil, tahmid dan lain-lain.

Dalam ayat ini juga Allah memerintahkan Rasul-Nya agar sentiasa
berzikir kepada-Nya dengan lidah dan hati pada waktu malam dan siang,
sewaktu bersendirian atau bersama orang ramai. Allah juga
mengingatkan Rasul-Nya supaya janganlah terhalang daripada sentiasa
mengingati-Nya meskipun sibuk berurusan (berdakwah) di tengah- tengah orang ramai. Ketika berhadapan dengan musuh, Allah turut menggesa kaum Muslimin agar tetap berzikir. Firman-Nya yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan (musuh), maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya dan sebutlah serta ingatlah Allah (dengan doa) banyak-banyak, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan). (Al-Anfal: 45).

Allah juga memerintahkan umat Islam agar berzikir mengingati-Nya pada
waktu pagi dan petang. Firman-Nya yang bermaksud: Dan sebutlah dengan lidah atau dengan hati akan nama Tuhanmu (di dalam dan di luar sembahyang), pada waktu pagi dan petang. (Al-Insan: 25).

Rasulullah s.a.w. juga menjelaskan bahawa para malaikat akan
memayungi orang-orang yang mengingati Allah, melimpahkan mereka
dengan rahmat serta beroleh rasa ketenangan. Sabda baginda yang
bermaksud: Tidaklah berhimpun suatu kaum kerana mengingati Allah,
melainkan mereka akan dinaungi oleh para malaikat, dilimpahkan dengan rahmat serta diturunkan ke atas mereka ketenangan dan Allah menyebut mereka (meningkatkan darjat) di kalangan orang yang berada di sisi- Nya. (Riwayat Muslim).

Jiwa yang sering lalai daripada zikrullah akan mudah buta mata
hatinya. Berapa ramai manusia yang Allah sayang dan redha meskipun
buta matanya? Namun berapa ramai pula manusia yang Allah murka dan hina kerana buta mata hatinya? Firman-Nya yang bermaksud: Kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata zahir mereka yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada. (Al-Hajj: 46).

Firman-Nya lagi di dalam Surah Taha ayat 124-126: Dan sesiapa yang
berpaling daripada mengingati-Ku, maka baginya kehidupan yang sempit
dan Kami akan himpunkan dia pada Hari Kiamat dalam keadaan buta. Lalu dia bertanya, Wahai Tuhanku? Mengapa Engkau himpunkan aku dalam keadaan buta sedangkan aku dahulu (di alam dunia) celik? Allah
menjawab (dengan firman-Nya), telah datang ayat-ayat keterangan Kami
kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya, dan
demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan.

Rasulullah s.a.w. berpesan kepada umatnya agar sentiasa membasahkan lidah dengan zikrullah. Imam at-Tirmizi meriwayatkan daripada Abdullah bin Bisyr bahawa seorang lelaki telah berkata: Wahai
Rasulullah! Sesungguhnya syariat Islam telah banyak ke atasku
sedangkan aku seorang yang telah lanjut usia. Oleh itu beritahulah
kepadaku sesuatu yang dapat aku jadikannya pegangan. Jawab
Rasulullah, Jadikanlah lidah engkau sentiasa basah dengan zikrullah.

Banyak fadilat atau kelebihan berzikir yang disabdakan oleh
Rasulullah s.a.w. dalam hadis-hadis baginda. Antaranya baginda
menyifatkan majlis zikir itu umpama taman syurga. Sabdanya bermaksud: “Apabila kamu melintasi taman syurga hendaklah kamu berhenti singgah. Maka bertanya para sahabat, Apa itu taman syurga?'' Jawab baginda,``Majlis zikir.'' (Riwayat at-Tirmizi).

Dalam kitab Tanbih al-Ghafilin ada dinyatakan lima kelebihan dan
faedah berzikir, iaitu mendapat keredhaan Allah, akan menambahkan
kesungguhan dalam melaksanakan ketaatan, terkawal daripada hasutan
syaitan, melembutkan hati dan mencegah daripada melakukan maksiat.

Allah menegaskan di dalam al-Quran agar kita menjadi orang yang
sentiasa berzikir sambil berfikir tentang tanda-tanda kekuasaan,
kebijaksanaan dan keluasan rahmat-Nya. Firman-Nya yang bermaksud:
“Orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata), Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan semua ini dengan sia-sia, MahaSuci Engkau, maka peliharalah kami daripada azab neraka. (Ali Imran:191).

Sesungguhnya para penzikir akan mudah terdorong melakukan kebajikan dan tercegah daripada melakukan kemungkaran. Malah mereka juga akan dapat merasai bahawa Allah seolah-olah sentiasa bersama mereka dalam setiap amalan yang dikerjakan. Ketahuilah bahawa Rasulullah s.a.w. adalah penzikir yang paling layak dan utama untuk kita contohi dan ikuti

Firman Allah di dalam al-Quran yang bermaksud: Dan ingatlah kepada-
Ku, nescaya Aku akan ingat kepada kamu. (Al-Baqarah: 152).
Semoga zikrullah akan selalu menjadi santapan rohani dan sentiasa
bernadi di dalam kehidupan kita, sama ada zikrullah dalam bentuk
detikan hati, pengucapan lidah atau amal perbuatan.

UM 130504

No comments: