Monday, February 16, 2004

Puisi buat Ghazali

Ghazali,

Mungkin engkau telah lupa apa yang engkau pernah pinta, tetapi aku masih ingat apa yang belum aku beri sedang aku mampu beri. Dulu pernah kau pinta aku mencipta sajak khas buat mu.

Ketika itu aku terkasima kerana aku bukan pujangga yang bisa memerah idea. Sajak untukmu atas tema apa ya? Tema kematian tentunya engkau akan kesal memintanya. Tema cinta-crimson love, ? Ooo tentu tak relevan. Lalu ku biarkan permintaan itu berlalu mengikut arus waktu….

Ghazali,

Malam ini apalah agaknya reqkimu sehingga benakku penuh dengan ayat ayat untuk diungkapkan dan permintaanmu itu singgah semula ke minda ini seperti sang ceti menagih hutang lama..… .Malam ini hawanya sejuk, siulan anjing yang entah dari mana datangnya berselang seli suara Pungguk, Tiong dan sesekali kokok ayam yang sayup. Mata yang enggan pejam ini mengajak tuannya munajat jumpa Dia walau beberapa minit cuma, lalu aku permisi sebentar…..

Ghazali,

Munajatku kepada-Nya hanya beberapa minit sedang aku menulis untukmu beberapa jam. Aku kadang-kadang digamit malu kepada-Nya yang ku anggap ‘kekasih’.Apakah layak aku berilusi kepada-Nya seperti aku berilusi kepada mahluk-Nya. Adakalanya kita begitu emosi bila hipokrit kepada manusia, kita malu menjadi munafik sesama manusia tetapi kita tidak gusar hipokrit kepada-Nya .

Ghazali,

Jangan kecil hati bila aku tidak hantar SMS bila aku demam atau sakit, Aku sibuk hantar ‘SMS’ kepada-Nya , Dia lebih utama untuk ku adukan segalanya, Dia Maha Tahu, Maha Memahami sungguhpun aku tahu engkau sangat empati,kaya simpati, engkau pandai ambil hati dan engkau menggelikan hati…

Ghazali,

Aku cuba untuk tidak berharap kepada selain-Nya

Aku cuba untuk tidak mangli dengan ilusi

Aku cuba untuk tidak resah bila susah

Aku cuba untuk tidak hiba bila sendiri…

Aku cuba untuk tidak gundah dek fatamorgana

Aku sandarkan tawakal kepada‘la haula wal quwata illa billah”

Aku bantalkan kalimah “Hasbiyallahu la ila ha illa anta “

Mengadu kepada mahluk, hanya menggamit simpati. Ada simpati hipokrasi, ada simpati ilusi,ada simpati bermusim, ada simpati ‘udang di sebalik batu’, ada simpati ‘melepas batu di tangga”, pokoknya simpati jangan diraih, takut lama lama ketagih….

Ghazali,
Rasanya cukuplah warkah yang berintonasi puisi ini sebagai ganti sajak yang kau dambakan. Akhir kata mari kita layangkan kesyahduan pada kalimah-Nya :-
“Ya aiyuhal nafs mutmainnah,
‘irji’ei ilaa radiqi, radhiatal mardhiah
Fat khulli fi ‘iba dih, wad khuli jannati”
“wahai nafs (jiwa) yang tenang
kembalilah kepadaKu dengan redho dan diredhoi
masuklah kedalam golongan hambaku yang patuh
masuklah ke Jannah-Ku”

Dia menjemput kita Ghazali dalam nada yang begitu lembut, syahdu. Layakkah kita tunggu tua baru beribadah kepada-Nya….

Ghazali,
Engkau pingit gadismu ketika engkau muda belia, tika engkau kuat tenaga, tika engkau sihat sejahtera , ketika engkau berada dalam nikmat anugerah-Nya. Lalu engkau untukkan masa tuamu yang belum pasti, masa tuamu yang bakal nyanyuk, masa tua yang pasti disentuh penyakit, untuk Dia, yang itu untuk Dia, untuk Dia yang menjanjikan kita Jannah-Nya, madu dibalas tuba…layakkah kita menghuni syurga-Nya?

Ghazali, …. Aku berhenti disini hingga jumpa lagi.

La-abwa 16/2/2004

No comments: