Sunday, October 5, 2008

Rheumatoid authritis boleh dirawat

Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my
Bintil di bawah kulit yang keras.Gabungan methotrexate dan etanercept halang sifat progresif RA

RUNDINGAN Asia Pasifik mengenai ekonomi farma dan hasil kajian ketiga di Seoul baru-baru ini mendapati penyakit rheumatoid arthritis (RA) boleh dirawat dengan gabungan methotrexate (ubat yang biasa diberi bagi mengawal RA) dengan etanercept (ubat generik yang digunakan bagi merawat keradangan sendi).

Gabungan kedua-dua ubat itu bertindak menghalang sekali gus menjadi progresif dan membantu pesakit mendapatkan kehidupan normal yang produktif. Data itu diperoleh daripada kajian kombinasi etanecept dan methotrexate dalam peringkat awal RA (COMET).
Prof Lee Sang Heon dari Universiti Hospital Konkuk, Seoul Korea, berkata penemuan menarik ini membuktikan penggunaan awal gabungan ubat ini boleh menghalang sifat RA yang progresif.

Dr Matthew Taylor dari Universiti of York, United Kingdom pula berkata, penting untuk pesakit RA menerima rawatan terbaik pada peringkat awal penyakit ini.

"Ia banyak membantu pesakit untuk mendapatkan hidup normal selama mungkin. Rawatan RA berdasarkan kajian terbaru ini bukan saja menghentikan penyakit ini menjadi semakin teruk malah pesakit boleh kembali bekerja," katanya.



Tangan yang merah dan bengkak antara simptom RA.

Walaupun dunia perubatan semakin canggih, banyak punca penyakit kekal menjadi misteri. Kebanyakan ubat yang ada hanya mengawal simptom dan bukan menyembuhkan penyakit. RA walaupun sudah dikenali sejak 1859 tetapi kebanyakan rawatan hanya bersifat sementara dan pesakit terpaksa berdepan dengan beban kewangan sedangkan dalam masa yang sama, mereka tidak boleh bekerja.

RA bukan penyakit yang membawa kematian. Ia adalah penyakit auto imun yang terjadi apabila sistem imun tubuh menyerang tubuh sendiri. RA adalah masalah keradangan yang menyebabkan kerosakan pada sendi dalam masa yang lama, malah ia boleh menjejaskan organ dalam tubuh lain.

Walaupun tidak menyebabkan kematian RA adalah penyakit kronik yang berlaku bertahun-tahun. Justeru, ada pesakit yang mengalaminya tanpa simptom nyata. RA lebih cenderung menyerang wanita berbanding lelaki antara dua hingga tiga kali ganda. Walaupun lebih kerap menyerang mereka yang berusia antara 40 hingga 60 tahun tetapi ia juga boleh didiagnos pada kanak-kanak.

Tiada rawatan untuk RA kerana itu pesakit dibantu doktor menjalani rawatan berasaskan strategi merawat simptom yang baik dan mengubah gaya hidup bagi memastikan pesakit mendapatkan hidup berkualiti.
Dr Matthew berkata, tanpa rawatan yang betul pesakit akan berhadapan dengan perjuangan yang panjang menentang RA.

"Ini kerana simptom RA datang dan pergi untuk tempoh yang lama manakala penyakit yang progresif sifatnya akan menyebabkan sendi terjejas teruk. Keadaan ini juga menyebabkan pesakit sukar untuk bekerja dan bergantung pada ahli keluarga sepenuhnya," katanya.

Faktor RA

Mayoclinic menjelaskan RA terjadi apabila sel darah putih keluar dari salur darah ke membran yang menutup sendi. Ia menyebabkan kawasan itu bengkak dan mengeluar protein. Keadaan ini terjadi dalam masa yang lama menyebabkan lapisan itu nipis selain ia merosakkan rawan, tendon, tulang dan ligamen di sendi. Ia juga menyebabkan sendi hilang bentuk, keseimbangan dan akhirnya rosak.

Bagaimanapun, sehingga kini mengapa keadaan itu menyebabkan RA tidak diketahui. RA dikatakan terjadi kerana faktor gabungan yang kompleks termasuk genetik, gaya hidup, tabiat merokok dan persekitaran.

Simptom RA
• Sakit sendi
• Sendi bengkak
• Sendi sakit apabila disentuh
• Tangan yang merah dan bengkak
• Bintil di bawah kulit yang keras
• Rasa kaku setiap pagi sekurang-kurangnya selama 30 minit
• Demam
• Berat badan menurun
sumber berita harian online 5 okt 2008

No comments: