Persiapan menjelang syawal selalunya didahului dengan menempah baju raya dan kueh mueh. Itulah tradisi masyarakat kita. Semuanya ditempah awal untuk memastikan 1 Syawal dapat disambut semeriah mungkin. Tiada siapa yang menempah malang, baik akhbar mahupun Radio dan TV sejak awal lagi sudah mewar-warkan kempen berhemah di jalanraya. Pihak Polis dan JPJ paling sibuk menjelang hari perayaan tersebut ,kakitangan dua jabatan penting ini tentunya gelisah kerana giliran mereka beraya di kampung tentunya terjejas dengan tugas khas sepanjang minggu lebaran.
Di musim perayaan tragedi kemalangan sama ada melibatkan maut atau tidak memang seperti tak dapat dielakkan. Ia juga sudah menjadi seperti satu tradisi perayan pula sekalipun kemalangan berlaku setiap hari di merata rata tempat. Faktor kesesakan dan kelajuan selalu dipersalahkan. Ada keluarga yang saya kenali sentiasa menghadapi malang setiap kali tiba syawal, pasti ada korban keluarga yang biasanya melibatkan ‘anak bujang’ dalam keluarga mereka. Biasanya 2 syawal amat menggerunkan keluarga ini kerana sudah 3 korban berlaku setakat ini dalam jarak tempoh 3-4 tahun. Apakah ini malang/badi keluarga atau satu kebetulan, tidaklah dapat dipastikan. Bila ianya terjadi, keluarga ini pastinya menjadikan Syawal sebagai tarikh malang keluaga mereka, namun mereka dapat menerimanya sebagai satu ketentuan takdir yang Maha Kuasa.
Saya yang turut menjadi saksi korban syawal keluarga tersebut sentiasa mengambil iktibar. Doa yg dipanjatkan setiap kali memulakankan perjalanan selalunya diulang-ulang lebih banyak bila memandu di musim perayaan atau di waktu sesak. Pesanan keluarga sentiasa dingati dan dipatuhi. Kebiasaan memandu laju juga diganti dengan pemanduan berhemat dan bercermat. Talipon bimbit sentiasa aktif bagi memastikan keluarga sentiasa boleh memantau di lokasi mana saya berada. Begitulah tindakan kewaspadaan yang biasa saya ambil ketika memandu di musim2 perayaan , semuanya bagi mengelak tragedi malang menimpa keluaga kami. Semuanya saya pastikan agar hati keluarga tenang sehingga deringan talipon memberitahu saya sudah selamat sampai di rumah.
Namun ‘takdir menentu segala’ bak kata lirik lagu Jamal Abdillah yang popular. Begitulah yang telah terjadi kepada saya pada 7 syawal 1427h yang lalu (30 Oktober 2006). Ketika perjalanan sudah hampir kira kira 5 km dari rumah kemalangan yang tidak di jangka telah berlaku. Walaupun saya nampak kereta yang bertentangan arah , perkiraan saya dan jangkaan saya yang kereta itu masih jauh rupanya meleset. Rempuhan kuat itu menyebabkan saya pengsan 3 jam dan hanya sedar ketika di hospital. Ibu saya telah patah kedua kakinya.
Begitulah, walaupun saya tidak mengalami kecederaan parah dan hanya dirawat 10 hari di Hospital, ibu saya masih lagi menangung akibatnya.Pada Ramadhan ini sekali lagi ibu saya terpaksa dimasukkan ke wad selama 12 hari kerana pembengkakan pada sambungan tulang kaki yg tidak sekata.Ini menyebabkan ibu saya tak boleh berpuasa akibat uzur dan memerlukan ubat dan rawatan lanjut .
Tragedi syawal sememangnya tidak pernah ditempah, namun ianya adalah satu pengajaran yang lumayan agar kita sentiasa memanfaatkan Ramadhan setiap tahun kerana tahun yang akan datang kemungkinan kita tidak berkesempatan lagi untuk merai dan mengimarahkanya. Seperti ibu saya, walaupun beliau masih ingin berpuasa , nasehat doktor perlu diutamakan. Kelonggaran berbuka bagi mereka yang uzur dan sakit yang perlu dimanfaatkan. Mudah2an Allah memberi ampun kepadanya dan kepada mereka yang berada dalam keuzuran.
Saya bersyukur atas segala yang berlaku. Tragedi Oktober tahun lalu membuktikan kepada saya bahawa Allah memberi ingatan , menguji hambaNya dan menolong hambaNya. Sesungguhnya ujian ini hanyalah sedikit berbanding dengan nikmatNya yang sudah sebegitu banyak. Saya bersyukur kerana tragedi itu menjadikan hubungan kekeluargaan ,kejiranan dan rakan taulan menjadi semakin akrab. Barulah saya sedar betapa keluarga ,jiran2 dan rakan rakan saya adalah hambaAllah yang terbaik telah dikuniakan Allah bagi memudahkan urusan hidup ini.
Maka benarlah dan tiada keraguan pada firman Allah s.wt dalam surah al-isra’ ayat 7 yang mafhumnya :” Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga.”
Maka berbuat baiklah kita kepada keluarga, jiran dan rakan taulan kita tanpa mengharap balasan mereka . InsyaAllah, bila tiba masanya kita akan diperlihatkan faedah dari kebaikan yang kita lakukan itu.Sesungguhnya Allah tidak menzalimi manusia tetapi manusialah yang menzalimi diri [surah Ali imran ayat 117]. Semoga tragedi oktober (syawal) tidak berulang lagi dan semoga apa yang berlaku mengandung hikmah yang tersembunyi.Mudah2an tragedi ini merupakan suatu peristiwa yang diinsafi dan disyukuri. Allahu’alam, wassalam.
Sunday, September 30, 2007
TRAGEDI OKTOBER (SYAWAL) JANGAN BERULANG LAGI
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment