Sunday, October 26, 2008

Kerana diriku seorang wanita?

Sidang pembaca yang dirahmati Allah s.w.t sekelian, Agak lama juga saya tidak mengemaskini blog ini.Saya lebih sibuk di egroups al-falaah dan melawat beberapa forum/blog lain. Masa yang ada perlu diagih-agih sebaik mungkin. Ada kalanya saya kagum dan hairan juga bila melihat ada blogger boleh mengemaskinikan blog mereka setiap hari, mungkin mereka mempunyai disiplin diri yang baik!

Bagi saya, memang tak mampu nak mengemaskinikan blog begitu kerap. Bukan tak ada masa, tetapi perlunya mengagihkan masa dan hanya menulis apa yang difikirkan boleh dimanfaatkan bersama, tentunya untuk memacu minda ummah. Hari ini saya agak sedih, jarang saya berasa sedih sebenarnya. Hari ini saya sedih mungkin kerana saya seorang wanita.


Seorang wanita ada fitrahnya tersendiri, dan ada juga wanita yang berfitrah terkecuali seperti saidatina Fatimah az-zahra anak kesayangan junjungan kita nabi Muhammad sallahu 'alaihi wassalam. Siti fatimah a.z adalah antara wanita istimewa kerana tidak didatangi haid.

Antara fitrah seorang wanita ialah tanda aqil balighnya. Apabila seorang wanita cukup umur maka tandanya ialah ia didatangai haid.Jika haid tidak datang maka usia 15 tahun dikira sebagai aqil baligh seorang perempuan.Dalam al-qur'an pula, Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman mahfumnya:
"Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: “Darah haid itu satu benda yang mendatangkan mudarat ..."[al-Baqarah 2:222].

Umum mengetahui bahawa bila seseorang itu Haid maka dia diharamkan :
1. Solat
2. Sujud tilawah ketika mendengar ayat sejadah
3. Sujud syukur
4. Tawaf
5. Iktikaf
6. Masuk ke dalam masjid kecuali hanya melintasinya
7. Membaca alQuran untuk tujuan ibadah, melainkan membaca ayat untuk tujuan wirid/zikir
8. Menyentuh,membawa @ menulis ayat al-Quran
9. Berpuasa, ini yg sedih ni.

Sedih kerana tak boleh puasa? ya lah, sedih sikit, adakalanya gembira. Kalau Bulan Ramadhan dapat peluang 'cuti' , memanglah ada di kalangan wanita yang seronok dapat makan ketika orang lain berpuasa. Saya sedih kerana dah niat nak pulun puasa diakhir syawal ini selama enam hari tetapi hanya dapat 4 hari sahaja sudah keuzuran. Sedih bukan kerana menyesali takdir, sedih kerana kealpaan diri yang suka menangguh-nangguhkan ibadah.

Allah bagi masa tapi, saya yang berlengah2 dengan berbagai alasan yang bagi saya 'munasabah' antaranya kerana saya tak begitu sehat (demam) dan bermusafir. Sebaik sahaja tak bermusafir,tidak pula segera berpuasa, masih bertangguh lagi.Akhirnya tamatlah bulan syawal (3 hari lagi) dan janji pahala yang Allah dah sediakan.. melepaslah kamu! Padanlah muka saya kali ini.

IKTIBAR

Kata salah seorang kawan saya "sabar sahaja lah, itu ketentuan Allah s.w.t, kita kena redho". Masalahnya bukan tak redho tapi kesal dengan sikap sendiri, suka sangat bertangguh bab ibadah. Walaupun hanya dapat pahala sunat, tapi mana tahu tahun hadapan tidak bertemu Ramadhan? sedangkan pahala yang terkumpul tak lah banyak mana sangat, ditolak dengan kualiti ibadah yang masih 'amature'. Tentu saya sedih dan bimbang juga.

" jadikanlah iktibar, tahun depan jangan tangguh lagi" kata kawan saya memberi peransang. Mudah2an peristiwa ini memberi saya iktibar, supaya tidak cuai dengan kesempatan yang Allah s.w.t beri. Memang cemburu lihat kawan2 dapat puasa enam hari di bulan syawal,saya biasanya dapat adakala tak dapat. Ya Allah, berilah kepada ku peluang ibadah di masa masa akan datang, amin.

SEDIH PULA APABILA HAID TIDAK DATANG sumber (http://www.hamidarshat.com/content/view/131/138/)

Pusingan haid yang teratur sangat penting bagi setiap wanita. Kedatangannya adalah satu lambing kewanitaan dan kesuburan. Apabila pusingannya terganggu, beberapa masalah mungkin timbul dan menggangu ciri kewanitaan.

Gangguan ini boleh menjadi insiden yang menggembirakan khususnya bagi wanita yang sudah berumahtangga dan sedang berusaha mendapatkan anak. Bagi mereka yang tidak bercadang dan tidak mahu hamil pula, gangguan haid itu amatlan mencemaskan.

Tegasnya, tidak datang haid adalah tanda awal kehamilan. Walaupun demikian, ia mungkin juga satu petanda bagi beberapa jenis penyakit lain khususnya penyakit kanser pada anggota peranakan.

Wanita yang menyusukan anak atau sedang menghampiri waktu putus haid mungkin juga mengalami gangguan haid ini. Kedatangannya juga boleh dihentikan dengan sengaja untuk tujuan tertentu seperti mengerjakan ibadat haji atau umrah ataupun untuk tujuan rawatan sesuatu jenis penyakit.

*** tamat petikan***

Begitulah halnya dengan wanita, banyak bimbangnya kurang redhonya. Ada pendapat menyebut wanita kurang agamanya kerana adanya haid. Haid pemutus ibadah seorang wanita tetapi masih banyaklah perkara maaruf yang boleh dibuat oleh seorang wanita yang sedang haid umpamanya membaca buku2 agama, zikir/wirid , membantu kerja2 kebajikan dan sebagainya yang tidak memerlukan seseorang itu suci dari hadas.

Sewaktu mengerjakan umrah, saya biasanya akan duduk di bukit safa sambil berzikir dan memandang kaabah. Bukit Safa tempat orang bersa'e tidak dikira masjid .Wanita yg mengerjakan haji/umrah hanya tidak dibenarkan solat dan tawaf, tetapi boleh bersa'e.Memandangkan wanita di timpa haid, maka sewajarnya wanita menjadi seorang yang aktif ketika sucinya, aktif beribadah. Ini guna menampung kekurangan semasa cuti uzurnya.

Walau bagaimanapun wanita akan kembali mendapat keuntungan ibadah selepas 'menopause'. Jadi wanita perlu menjaga kesihatan supaya ketika itu nanti tidak ada penyakit2 yang menghalang ibadah seperti sakit lutut,barah atau yang paling malang ialah penyakit malas . Penyakit malas pun digandingkan dengan kesibukan menjaga cucu atau kesibukan yang ditempah sendiri seperti menyibukkan diri dengan persatuan, berpolitik dan atau masih sibuk mengumpul harta untuk ditinggalkan kepada waris! Nauzubillah.

Ingat pesan Rasulullah s.w.t rebut lima sebelum lima. “Rebutlah peluang lima perkara sebelum datang lima perkara yang lain, iaitu masa muda mu sebelum datangnya hari tua, masa sihat mu sebelum datang masa sakit, masa kaya mu sebelum papa, masa lapang mu sebelum datangnya waktu sibuk dan masa hidup mu sebelum datang saat kematian.“

Hadis di atas memperlihatkan kepada kita bahawa 5 peluang yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w di atas merupakan 5 waktu yang sememang kita tempuhi di dunia ini dan 5 perkara kemudian tersebut juga adalah perkara yang bakal kita hadapi kelak. Anugerah tersebut telah diberikan oleh Allah s.w.t secara PERCUMA sahaja tidak memerlukan kepada bayaran sesen pun, kita cuma diperintahkan agar memanfaatkan 5 masa dan memenuhinya sebaik mungkin. Namun jika sekiranya kita tidak menggunakan 5 masa yang diberikan tersebut sebaik mungkin, maka kita juga yang mendapat kerugian akibat kedatangan 5 waktu yang menyebabkan kita kerugian dan tidak dapat lagi berbuat apa-apa.

Fikir-fikirkan.

2 comments:

Betau2Boston said...

Assalamualaikum
Salam ziarah dan salam perkenalan, best gak blog ni. Banyak ilmu baru. TQ

Ummu Waheedah said...

Wa'alaikumussalam wmt,

Slam kenal kembali.Tinggal di boston ker puan?