Saturday, August 20, 2005

Saat aku diselimutputihkan

Detik masa berlalu saat demi saat, minit berganti jam akhirnya yang ditunggu-tunggu tiba juga.Begitulah detik masa yang dijanjikan Allah s.w.t setiap yang dirancang-Nya pasti akan tiba tepat waktunya, waktu Dia bukan waktu kita.

17 Ogos 2005 adalah tarikh aku di'selimut-putih' kan buat pertama kali tanpa wudhu seperti selayakkan seorang hamba solih mengadap tuhannya. Tarikh yang telah dijadualkan 3 bulan lalu, tarikh keramat yang dinanti dengan penuh debar. Persediaan telah 'lengkap' aku sediakan kecuali wasiat, persetankan wasiat. Apa sahajalah harta yang aku ada, pandai-pandailah orang hidup nak teruskan hidup. Yang penting aku harus menyediakan persiapan mental yang cukup supaya jantungku terus berdegup selepas proses pembedahan nanti.

Pembedahan telinga bukan suatu yang mengerikan bagi kebanyakkan orang. Mungkin ada yang menyangka ia hanya proses mengorek keluar bendasing dari rongga telinga macam mengorek 'tahi telinga'. Tapi sebenarnya prosesnya sama seperti pembedahan jantung,buah pinggang, hati dan pembedahan lain yang melibatkan proses pembiusan seluruh badan dan memakan masa hampir 3 jam.Malah saraf telinga yang amat halus dan peka itu perlu penelitian yang teliti, jika satu saraf terpotong kemungkinan keseluruhan fungsi telinga, hidung dan tekak akan terganggu atau rosak. Kerana itu Dr amat berhati-hati terutama dari segi persediaan sebelum pembedahan bagi memastikan pesakit yang dibedah sehat jantung dan buah pinggangnya.

Persedian 2 hari sebelum pembedahan sebenarnya menambahkan lagi debar di dada. Potasium kurang, kena tambahkan potasium. Badan tak boleh demam, suhu badan dan tekanan darah sentiasa dipantau . Akhirnya tibalah masa baju putih disarungkan, jasad diusung ke Bilik Bedah (OT) kira kira jam 9.30 pagi kerana jadual pembedahan jam 10 pagi. Tiba di bilik menunggu baju putih ditukar dengan baju putih lain khas untuk bilik bedah. Jururawat berpakaian serba biru berkeliaran dan pesakit lain juga masuk menunggu pembedahan. Bilik menunggu sejuk macam bilik mayat rasanya, pesakit sebelahku sibuk juga bersembang dengan pesakit lain, aku buat tak dengar kerana membanyakkan zikir, dan mengucap.. manalah tahu , itulah lafaz terakhir.Aku ingin lafaz terakhir adalah kalimah 'la ilaha illallah "- tiket untuk ke surga.

Tak ada perkara lain yang diingat hanya amal ku banyak mana? cukupkah kalau nantinya selimut putih ini terus tersarung atau diganti dengan selimut yang lebih tebal 7 lapis?Allah , Allah , Allah , 'la ilaha illallah muhammadur Rasulullah'. Itu yang diulang-ulang sehingga jam 11.30 pagi barulah aku dibawa ke Dewan Bedah5 dengan cepat bila isyarat memanggil sudah diberikan oleh petugas di dalam.Ya rabbi, aku pasrah...

Jururawat dan petugas dalam bilik bedah tangkas menyiapkan persiapan, tangan ku terpaksa dicucuk ditempat lain untuk masukkan ubat kerana tempat cucuk yang sebelum ini ada masalah tekanan, akhirnya urat kaki pula jadi habuan. Kaki pun kaki..lah asal selamat. Sejurus kemudian jururawat menyuakan corong 'gas' untuk memengsan aku. Semua prosidur ini telah pun diberitahu oleh pakar bius sebelumnya, jadi aku sudah bersedia. Aku masih sempat mengucap sambil menyedut 'gas' dan lepas itu aku tak tahu apa terjadi.

Sewaktu sedar beberapa alat masih ditangan, beberapa jururawat sibuk dengan hal masing masing, seorang doktor pun tak ada.Subhanallah,aku masih hidup. Aku dalam bilik bedah, aku masih berselimut putih.
"kak Latifah dah sedar" sapa seorang jururawat dengan ramah dan senyum. Aku mengangguk, dan mengerling jam didinding. Pukul 4? sekali lagi kerling, eh pukul 12.40 tghr ker?
" Err... nurse pukul berapa sekarang?" aku bertanya untuk kepastian.
"Pukul 4 petang " Jawap nurse selamba. Oh patutlah dah tak ada orang dalam OT, tinggal kemaskan aku rupanya. Lepas semua alat ditanggalkan,aku dibawa pulang ke wad Orkid tingkat 8 (wad diraja kununnya).

Tiba diruang legar tingkat 8 hospital Tengku Ampuan Afzan,Kuantan menyeringai wajah kakak ku yang datang malam tadi dengan anak-anak saudara termasuk cucu saudaraku. Mereka dah tunggu sejak jam 12.30 tghr lagi . Rupanya mereka pun menanti dalam kerisauan kerana penantian itu suatu siksa,tapi siksa yang masih tertanggung..:) Kini berakhirlah nostalgia 'selimut putih' yang digeruni itu dan syukur Alhamdulillah aku masih ingat bagaimana mengetik 'keyboard' PC ini dan masih boleh menulis, maknanya masih waras.Harapan ku biarlah ianya pemebedahan kali pertama dan terakhir buatku. Namun selimut putih yang terakhir pasti ku nanti dengan penuh harap agar ia menjadi 'khusnul khotimah' atau kesudahan yang baik, Amin.

No comments: