Assalamu'alaikum,
Alhamdulillah,
Segala puji bagiNya yang menjadikan adanya lapar.
Segala puji bagiNya yang menjadikan adanya kenyang.
Segala puji bagiNya yang menjadikan adanya sakit
Segala puji bagiNya yang menjadikan adanya sembuh.
Kenyang itu tak akan terasa nikmatnya jika tidak ada lapar, sehat itu tidak akan disyukuri jika tidak pernah sakit.Kita disuruh makan untuk hidup bukan hidup untuk makan.Bila hidup tujuannya makan, maka sakitlah yang menjadi peneman. Berapa orang tidak mengira apa yang dimakan, makan selagi tak kenyang, akhirnya macam-macam penyakit bertandang.
Allah s.w.t menetapkan (sunnatullah) adanya lapar supaya manusia mencari jalan untuk mendapatkan makanan. Allah s.w.t berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 168 mafhumnya "Wahai manusia! Makanlah apa-apa di atas muka bumi ini, yang halal dan baik. Dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaithan. Sesungguhnya dia adalah musuh kamu yang nyata." Yang halal dan baik itu juga mengikut keperluan badan sendiri, bak kata pepatah melayu :-ukur baju dibadan sendiri. Makanan yang tidak memberi mudharat kepada seseorang mungkin menyebabkan kematian pada individu yang lain. Jadi jangan ikut-ikutan bila makan, ketahuilah keperluan dan pantang badan sendiri jangan 'pantang nampak' atau 'pantang hidang', semua dibedal semua ditelan.
Musibah yang menimpa rakan saya baru-baru ini banyak menginsafkan saya. Rakan saya yang mengidap kencing manis itu sudah pun dibedah bisulnya. Banyak nanahnya. Perit sakitnya, berdenyut urat sarafnya. Saya hanya mampu melihat, dia yang menanggung. Tetapi Allah s.w.t tidak pernah menzalimi manusia , manusialah yang menzalimi diri. Waktu sehat , susah untuk menasehatinya tentang makanan manis yang sepatutnya dimakan secara minima.
Dalam keadaan bacaan gula dalam badan melebihi 20, dia masih bersemangat merebus sebiji nenas disira gula. Memang sedap buah2an yang Allah jadikan. Bukan salah nenas ditanam orang ,salah manusia yang berlebih2an. Maka terjadilah sunnatullah bagi mereka yang menjadikan 'musuh' sebagai teman. Bukanlah kerana nenas semata-mata, malah banyak lagi makanan dan kueh mueh yang menyentak selera kawan saya ni. Kalau musim durian, bukan setakat seulas dua ,malah selonggok durian diborong buat tempoyak.Ayat degil yang selalu disebutkannya ialah "tak makan pun sakit juga".
Kini dirinya terlantar di katil wad satu. Malah jika diletakkan di atas katil emas sekalipun sakitnya tetap begitu, tetap pedih dan ngilu. Kini , walaupun selera makan masih berkobar2 , tekak masih mampu menelan, makanan yang dimakan perlu disekat. Silap sedikit, gatal pula tempat yang dibedah,bertambah pula lendir dan nanah. Bertambah tak tertanggung luka yang dah parah. Ini baru hal dunia, baru sakit akibat makan makanan halal, bagaimana sakitnya jika makan makanan yang tidak halal dan dilarang Allah ? Mungkin di dunia tidak terasa di akhirat nanti bagaimanalah akan merana?
Berpantang ajal sebelum maut, begitu hebatnya orang Melayu menyusun ayat. Tepat sekali makna yang tersirat. Sebelum malaikat maut datang, ajal belum lagi dinoktahkan. Beban sakit mesti dirasakan, usaha ikhtiar masih boleh dilaksanakan. Mencegah lebih baik dari mengubati. Benar sekali, oleh itu sebelum kita dipantangkan maka jagalah makanan kita, pantang-pantangkanlah diri kita. Sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa. Jagalah mulut bukan sekadar jaga tutur kata, malah jagalah makanan yang masuk kerongganya. Allahu'aklam.
Friday, May 30, 2008
Sebelum kita dipantangkan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment