Wednesday, April 30, 2008

Nusyus - Isteri takut keluar rumah

Keluarga & Undang-Undang: Sisters In Islam

Soalan:Saya ingin bertanya dengan lebih lanjut mengenai soalan yang telah
dikeluarkan pada minggu yang lalu di dalam ruangan ini. Saya telah
berkahwin selama lima tahun dan tidak dikurniakan cahaya mata lagi.
Suami saya juga selalu memukul saya walaupun saya tidak sengaja
melakukan kesalahan. Tamparan adalah satu perkara yang biasa saya
terima. Saya telah beberapa kali mahu meninggalkan rumah tetapi saya
takut dianggap nusus. Suami juga sering mengatakan bahawa jika saya
keluar rumah saya akan didapati nusus. Saya sudah tidak tertahan dan
bersabar lagi dengan sikapnya ini. Apa yang boleh saya lakukan?

Jawapan:Bagi menjawab soalan puan rujukan harus dilakukan ke atas Surah an-
Nisa ayat 34 yang antara lainnya menyebut:

``...Perempuan-perempuan yang nusus hendaklah kamu beri nasihat dan
kamu tinggalkan sendirian di tempat tidurnya dan kamu pukullah dia
(dengan pukulan yang tidak menyakiti badannya). Jika perempuan itu
telah taat kepadamu, janganlah kamu mencari jalan untuk
menganiayanya''.

Perlu dinyatakan bahawa perbincangan mengenai nusus ini adalah tidak
terbatas kepada ayat yang tersebut di atas. Nusus juga telah
digunakan terhadap lelaki. Rujukan boleh dilakukan kepada Surah an-
Nisa ayat 128 yang antara lainnya menyatakan bahawa:

``Dan jika kamu seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya
nusus atau tidak melayaninya maka tiadalah salah bagi mereka (suami
isteri) membuat perdamaian di antara mereka berdua (secara yang
sebaik-baiknya) kerana perdamaian itu lebih baik (bagi mereka yang
bercerai); sedang sifat bakhil kedekut (tidak suka memberi atau
bertolak ansur) itu memang sifat semula jadi yang ada pada
manusia...''.

Perkataan Nusus ini tidak hanya digunakan terhadap para isteri.
Menurut Syed Qutb di dalam bukunya In The Shade of the Quran, Nusus
bererti terganggunya kerukunan rumah tangga.

Juga bagi Muhammad Asad yang telah berpendapat bahawa Nusus
merangkumi segala kelakuan buruk yang disengajakan oleh pihak isteri
terhadap suaminya. Ini termasuklah penganiayaan mental yang meliputi
sikap kasar dan penganiayaan fizikal oleh pihak suami terhadap isteri.

Apabila terjadi gangguan terhadap kerukunan rumah tangga, maka al-
Quran telah menyarankan tiga kaedah untuk menegakkan kembali
kerukunan perkahwinan tersebut. Kaedah-kaedah tersebut adalah:

1. Perundingan atau syura - bersama isteri dan sekiranya gagal
bersama ahli keluarga suami dan isteri.

2. Waktu perpisahan - bagi tujuan meredakan keadaan.

3. Daraba - pukulan yang tidak menyakitkan atau memudaratkan. Para
perawi seperti Muslim, Tirmidhi, Abu Daud, Nasai dan Ibn Majah telah
menekankan bahawa jika langkah pukul digunakan maka langkah itu
adalah semata-mata bersifat simbolis, seperti dengan menggunakan kayu
sugi (berus gigi) atau sapu tangan yang terlipat.

Seorang suami tidak seharusnya menganggap bahawa beliau boleh memukul
seorang isteri dengan sewenang-wenangnya. Keganasan terhadap isteri
adalah merupakan suatu kezaliman dan penganiayaan. Ia bukanlah satu
perbuatan yang boleh dianggap ringan atau hak seorang suami ke atas
isterinya.

Puan bertanya sama ada puan boleh keluar rumah di dalam situasi puan
kini. Kita boleh merujuk kepada Surah ar-Ra'd ayat 11 yang antara
lainnya telah mengatakan bahawa:

``Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu bangsa,
melainkan bangsa itu mengubah nasibnya sendiri''.

Adalah membimbangkan sekiranya seseorang isteri terpaksa berada di
dalam situasi yang boleh membahayakan dirinya. Apalagi apabila dia
terpaksa berhadapan dengan situasi tersebut secara berseorangan dan
tiada orang lain yang boleh membantunya.

Puan boleh dan perlu menyelamatkan diri dan cuba memberhentikan
tindakan zalim suami. Apabila puan merasa sangsi mengenai keselamatan
puan, maka puan boleh meninggalkan rumah bagi memperoleh keselamatan
dan kedamaian. Masa ini boleh digunakan oleh puan untuk berfikir bagi
langkah yang perlu diambil.

Apabila puan keluar rumah, puan perlu membuat laporan polis dan
menyatakan sebab-sebab tindakan tersebut diambil. Nyatakan sebab-
sebab puan terpaksa keluar rumah secara menyeluruh.

Sekiranya puan mengalami kecederaan sama ada kecil atau besar, sila
segera melakukan pemeriksaan perubatan dan dapatkan laporan doktor.
Perkara-perkara ini perlu dilakukan bagi melindungi hak puan dan
sebagai bukti di Mahkamah Syariah sekiranya puan mahu memohon
perceraian.

Suami juga secara amnya boleh mengadu kepada Mahkamah Syariah dan
mengatakan bahawa puan telah Nusus tetapi dengan adanya laporan-
laporan yang telah puan lakukan, ia boleh memberi mahkamah bukti yang
diperlukan. Bahawasanya puan mempunyai sebab-sebab yang kukuh yang
memerlukan puan bertindak untuk keluar rumah.

No comments: